AM

SELANGOR RANGKA KERTAS KERJA PENYEDIAAN UNIT KECEMASAN DALAM SKIM SMART SEWA

26/12/2025 04:38 PM

PELABUHAN KLANG, 26 Dis (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor merangka kertas kerja penyediaan unit kecemasan dalam setiap projek rumah sewa di bawah Program Skim Smart Sewa sebagai langkah persediaan menghadapi kemungkinan bencana dan situasi kecemasan pada masa hadapan.

Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri Datuk Borhan Aman Shah berkata langkah itu diambil bagi memastikan setiap projek perumahan mampu menyediakan unit sementara untuk penduduk yang terjejas termasuk kes pemindahan akibat banjir atau bencana lain, sekali gus meningkatkan keberkesanan Program Skim Smart Sewa.

“Dalam perbincangan lepas, kita (kerajaan negeri) menekankan kepentingan menyediakan beberapa unit bagi setiap kawasan untuk kegunaan kecemasan termasuk bantuan sementara bagi mangsa banjir atau pemindahan.

“Insya-Allah kertas kerja ini akan memastikan kita bersedia dari segi peruntukan, logistik dan penyelenggaraan supaya unit-unit ini dapat digunakan dengan segera apabila diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Flat Seri Perantau, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata tahun ini kerajaan negeri juga menilai pencapaian pembinaan 200,000 unit rumah dalam satu penggal bagi Selangor dengan hampir 80,000 unit telah disiapkan, meninggalkan baki kira-kira 120,000 unit yang masih dalam proses pelaksanaan.

Borhan berkata pemantauan dan kawalan ketat perlu diteruskan bagi memastikan projek pembinaan rumah dapat diselesaikan mengikut jadual, sejajar dengan misi menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat.

“Bajet Program Rewang Komuniti Strata juga telah digandakan berikutan keberhasilan pelaksanaan sebelum ini sebagai usaha kita menyantuni penduduk di kawasan rumah pangsa.

“Tambahan peruntukan ini membolehkan kita memperluas lagi capaian Program Skim Smart Sewa dan menyediakan unit-unit baharu bagi kegunaan sementara dan kecemasan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan negeri turut menekankan kepentingan penyediaan kertas kerja sebelum melaksanakan sebarang peruntukan tambahan, bagi memastikan pelaksanaan unit kecemasan dapat dijalankan secara teratur dan mematuhi prosedur standard.

Katanya, setiap unit yang disediakan akan ditempatkan secara strategik di setiap kawasan perumahan bagi memudahkan penggunaan sewaktu kecemasan.

“Kita perlu memastikan setiap unit yang ditawarkan di bawah Skim Smart Sewa mempunyai kapasiti untuk digunakan bagi kecemasan termasuk mangsa banjir atau pemindahan sementara. Hal ini juga memberikan keyakinan kepada penduduk bahawa kerajaan negeri sentiasa bersedia dan mempunyai perancangan rapi untuk sebarang kemungkinan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan