EKONOMI

GAS MALAYSIA SELARAS TARIF PURATA ASAS, TIDAK TERPAKAI LPG DALAM SILINDER GAS DAN BEKALAN PUKAL

26/12/2025 04:19 PM

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Gas Malaysia Bhd membuat penyelarasan tarif purata asas pada RM1.880 bagi setiap gigajoule (GJ) sehari bagi pengguna sistem pengagihan gas asli yang dikendalikan oleh anak syarikatnya, Gas Malaysia Distribution Sdn Bhd (GMD).

Tarif purata asas tersebut tertakluk di bawah rangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) yang dilaksanakan bagi Tempoh Kawal Selia Ketiga (RP3) dan akan meliputi tempoh dari 1 Jan, 2026 hingga 31 Dis, 2028.

Penyedia gas itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata Tarif Pengagihan GMD di bawah rangka kerja IBR bagi semua jenis penggunaan adalah RM2.114/GJ/hari untuk tempoh dari 1 Jan, 2026 hingga 31 Dis, 2026 selepas mengambil kira pelarasan tarif IBR tahunan.

Bagaimanapun, Gas Malaysia berkata kelulusan tarif tersebut tidak terpakai kepada penjualan gas petroleum cecair yang dibekalkan dalam silinder gas atau secara pukal.

Syarikat menjangkakan tarif pengagihan untuk RP3 akan terus memberikan pulangan positif daripada segmen yang dikawal selia syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2026.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan