DUNIA

JEPUN: 15 CEDERA DALAM SERANGAN PISAU, SEMBURAN CECAIR DI KILANG

26/12/2025 11:56 PM

TOKYO, 26 Dis (Bernama-Xinhua) -- Seramai 15 orang cedera selepas seorang lelaki memasuki sebuah kilang di Wilayah Shizuoka, tengah Jepun pada Jumaat sebelum menyerang pekerja menggunakan pisau selain menyembur cecair tidak diketahui, lapor Xinhua memetik media tempatan.

Satu panggilan kecemasan diterima kira-kira 4.30 petang waktu tempatan yang memaklumkan beberapa individu telah ditikam di sebuah kilang getah di bandar Mishima, Wilayah Shizuoka, selain terdapat cecair disembur di dalam premis berkenaan, menurut penyiar awam NHK yang memetik polis dan bomba.

Menurut jabatan bomba, 15 mangsa yang cedera kini sedang menerima rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan sedar.

Polis menahan seorang lelaki berusia 38 tahun, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kilang berkenaan, di lokasi kejadian atas dakwaan cubaan membunuh.

Menurut polis, suspek dilaporkan memakai sesuatu yang menyerupai topeng gas ketika melakukan serangan itu.

Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan