KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Beregu campuran remaja negara, Datu Anif Isaac Datu Asrah-Clarissa San melengkapkan kejayaan merangkul dua gelaran dalam tempoh seminggu selepas dinobatkan sebagai juara kejohanan Siri Antarabangsa Bangladesh 2025, di Dhaka semalam.
Baru saja menjuarai Cabaran Antarabangsa Bangladesh 2025 pada 20 Dis lepas, Datu Anif-Clarissa meneruskan momentum cemerlang mereka dengan menewaskan rakan senegara, Wee Yee Tern-Tan Zhing Hui 21-14, 21-15 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Tertutup Sahid Tajuddin Ahmed, Paltan.
Minggu lepas, Datu Anif-Clarissa merangkul gelaran Cabaran Antarabangsa Bangladesh 2025 dengan kemenangan straight set ke atas pasangan tuan rumah, Jumar Al-Amin-Urmi Akter 27-25, 21-14.
Sementara itu, kekecewaan berganda buat Zhing Hui apabila turut gagal meraih gelaran beregu wanita, kali ini bersama Gan Min Yee, selepas tewas dalam aksi sengit set penentuan dengan wakil Thailand, Thitiwarada Buakaew-Sarisa Janpeng, 13-21, 21-18, 17-21.
Pemain perseorangan wanita, Lim Zhi Shin juga mengalami nasib sama terlepas gelaran juara selepas kalah kepada pemain India, Tanvi Reddy Andluri 19-21, 10-21.
-- BERNAMA
