AM

JANGAN TOLAK TAWARAN MRSM KERANA FAKTOR KEMISKINAN - ASYRAF WAJDI

27/12/2025 03:00 PM

KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Para pelajar yang mendapat tawaran memasuki Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dinasihatkan supaya tidak menolaknya kerana faktor kemiskinan.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata terdapat inisiatif khusus yang dilaksanakan oleh MARA dan MRSM bagi membantu pelajar daripada keluarga susah untuk meneruskan pendidikan, termasuk melalui Bantuan BUDI MARA.

“Tolong jangan tolak tawaran MRSM hanya kerana faktor kemiskinan. Saya sudah minta pengurusan MARA dan MRSM agar bantu mereka yang susah. Bantuan BUDI MARA juga ada disediakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Asyraf Wajdi berkongsi mengenai sebuah keluarga kurang berkemampuan di Pasir Mas, Kelantan yang berdepan kebimbangan menanggung kos awal persekolahan anak mereka setelah ayah pelajar berkenaan tidak mampu bekerja selepas kemalangan manakala ibu adalah suri rumah dengan tanggungan empat orang anak.

Beliau berkata anak keluarga itu baru menerima tawaran persekolahan di MRSM Jeli, namun keluarga itu mempertimbangkan untuk menolak tawaran berkenaan kerana memikirkan kos perbelanjaan untuk kemasukan dan sepanjang tempoh pengajian.

Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata sejurus menerima maklumat itu, beliau menghubungi Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas Datuk Noor Hariri Mohamed Noor bagi membantu perbelanjaan awal manakala selebihnya akan dibantu oleh beliau sendiri bersama MARA.

Program BUDI MARA ialah inisiatif MARA untuk membantu pelajar layak melanjutkan pelajaran di MRSM, khususnya daripada golongan B40, melalui pelbagai kemudahan bagi memastikan pembelajaran berjalan dengan baik, selari dengan dasar pengambilan MRSM yang menetapkan sekurang-kurangnya 60 peratus pelajar daripada golongan B40.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan