JENAYAH & MAHKAMAH

REMAN TIGA LELAKI WARGA ASING TERBABIT SINDIKET DADAH ANTARABANGSA DISAMBUNG

27/12/2025 06:43 PM

GEORGE TOWN, 27 Dis (Bernama) -- Reman tiga lelaki warga asing yang disyaki ahli kimia sindiket syabu antarabangsa disambung tujuh hari lagi selepas mereka ditahan dalam siri serbuan di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata ketiga-tiga suspek berusia 32 hingga 38 tahun itu sebelum ini direman tujuh hari dan reman berkenaan tamat hari ini.

“Polis memperoleh sambungan reman hingga 3 Jan bagi membantu siasatan. Kami sedang menjalankan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata setakat ini tiada tangkapan baharu, namun usaha mengesan rangkaian sindiket berkenaan giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Media sebelum ini melaporkan polis membongkar makmal haram memproses syabu di sebuah kebun durian di Jalan Teluk Bahang, di sini selepas menahan tiga lelaki warga asing dan merampas 1.2 tan pelbagai jenis dadah bernilai RM38 juta dalam siri serbuan pada 20 dan 21 Dis lepas. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata berdasarkan maklumat risikan, sepasukan polis JSJN Bukit Aman menyerbu sebuah unit kondominium di Jalan Gurdwara, George Town pada 20 Dis dan menahan tiga lelaki warga asing berkenaan.

Dalam serbuan itu, seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun cuba melarikan diri sebelum terjatuh dari tingkat lima dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemeriksaan menemukan 26 kilogram (kg) syabu serta pelbagai peralatan membungkus dadah. 

Polis kemudian menyerbu sebuah premis perniagaan di Taman Windmill, Jalan Gurdwara dan  merampas 474 kg syabu.

Premis itu dipercayai dijadikan lokasi untuk menyimpan serta membungkus dadah sebelum diedarkan.

Polis seterusnya menyerbu kebun durian yang terletak kira-kira satu kilometer dari jalan utama, sekali gus membongkar sebuah makmal memproses syabu dalam skala besar dan merampas 60 kg serbuk syabu, ketulan kristal disyaki syabu (54 kg), cecair syabu (574 kg) dan pelbagai peralatan memproses dadah.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan