AM

FUNIKULAR BUKIT BENDERA ALAMI GANGGUAN AKIBAT MASALAH AGIHAN KUASA

27/12/2025 07:30 PM

GEORGE TOWN, 27 Dis (Bernama) -- Perkhidmatan Funikular Bukit Bendera yang mengalami gangguan sementara semalam adalah disebabkan masalah pengagihan kuasa yang menjejaskan pemacu motor yang berpunca daripada objek asing.

Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dalam kenyataan memaklumkan, kejadian itu bermula pada 2.15 petang dan disebabkan sistem melibatkan voltan tinggi, perkhidmatan perlu dimatikan sepenuhnya untuk menggantikan unit kuasa yang terjejas.

"Kejadian itu mengaktifkan mekanisme keselamatan terbina dalam funikular, menyebabkan ia secara automatik beroperasi pada kelajuan yang dikurangkan untuk membawa pengunjung, sebelum sistem dimatikan sepenuhnya bagi menggantikan unit yang gagal berfungsi.

"Keselamatan pengunjung adalah keutamaan PBBPP dan pihaknya segera menyediakan pengangkutan untuk pengunjung kembali ke Stesen Bawah Bukit Bendera, dengan menggunakan kedua-dua gerabak funikular yang beroperasi pada kelajuan dikurangkan dan perkhidmatan jip Bukit Bendera," menurut kenyataan itu hari ini.

PBBPP memaklumkan pasukan teknikal telah memeriksa sistem dengan teliti dan perkhidmatan funikular kembali beroperasi seperti biasa pada 6.30 petang.

Sehubungan dengan itu, PBBPP memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan menghargai kesabaran serta kefahaman semua pengunjung dan pihak berkepentingan sepanjang gangguan itu, dan pihaknya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak atas bantuan mereka.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan