SEREMBAN, 28 Dis (Bernama) -- Lelaki disyaki terlibat dalam kes letupan menggunakan bahan letupan buatan sendiri atau Improvised Explosive Device (IED) di Desa Palma, Nilai, di sini direman sehingga 3 Jan depan.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata perintah reman terhadap lelaki 62 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Siti Nur Ain Ariffin di Hospital Tuanku Ja’afar di sini memandangkan suspek menerima rawatan akibat kecederaan.
“Reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan Letupan Senjata Berjadual dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Alzafny berkata suspek kes letupan di Desa Palma pada pagi 22 Dis itu ditahan di sekitar Batang Benar, Nilai pada 4.15 petang semalam dengan kesan melecur pada muka, badan, tangan dan kaki.
Suspek dipercayai mempunyai pengetahuan teknikal dan kemahiran khusus dalam pembuatan bahan letupan berdasarkan penemuan peranti dan peralatan yang dirampas di rumah sewa lelaki itu.
Sementara itu, di Ipoh, Perak, polis memperoleh perintah reman sehingga 2 Jan terhadap lelaki yang disyaki mengamuk sehingga mencederakan ahli keluarganya di Persiaran Putra, Bandar Baru Putra pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata suspek berusia 29 tahun direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Siasatan awal mendapati suspek yang mempunyai rekod rawatan kesihatan mental dipercayai mengamuk dan mencederakan dua ahli keluarganya dan melarikan diri dengan memanjat tembok dan bumbung rumah sebelum memasuki sebuah rumah jiran.
Mangsa yang dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk rawatan dilaporkan dalam keadaan stabil.
-- BERNAMA
