KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) -- Beberapa jalan utama di sekitar Bukit Bintang akan ditutup sementara pada 1 dan 3 Jan depan bagi memberi laluan kepada Festival "I LITE U" yang merupakan acara pembuka tirai Tahun Melawat Malaysia (TMM2026).
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL) ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata raptai penuh akan diadakan pada 1 Jan bermula 6 petang hingga selesai, melibatkan penutupan penuh Jalan Bukit Bintang dari Pavilion ke Hotel Federal.
Beliau berkata acara rasmi pula berlangsung pada 3 Jan bermula 7.30 hingga 10 malam yang turut melibatkan penutupan penuh jalan tersebut.
“Majlis ini terbahagi kepada dua komponen utama, iaitu majlis perasmian yang berlangsung di dalam Pavilion Kuala Lumpur serta majlis pelancaran yang berkonsepkan "perarakan budaya" di sepanjang Jalan Bukit Bintang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata sebanyak 20 kontinjen terlibat dalam perarakan itu termasuk tujuh kontinjen pancaragam yang akan berarak dari Pavilion ke hadapan Hotel Federal, melibatkan jarak kira-kira 900 meter sehingga persimpangan Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail.
“Pihak Pavilion dan penganjur akan menyediakan pelekat khas kepada kenderaan VIP dan VVIP bagi urusan parkir kenderaan, manakala semua penutupan jalan akan dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” kata Mohd Zamzuri.
Beliau berkata maklumat lanjut berhubung penutupan jalan boleh diperoleh daripada DBKL dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selaku penganjur.
Sementara itu, DBKL menerusi hantaran di Facebook semalam memaklumkan penutupan jalan bagi Festival "I LITE U" melibatkan Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail adalah pada 1 Jan dari 6 petang hingga 11 malam dan pada 3 Jan dari 6 petang hingga 12 tengah malam.
Selain itu, penutupan penuh Jalan Bukit Bintang akan turut dilaksanakan sempena Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 bermula 5 petang pada 31 Dis hingga 2 pagi pada 1 Jan 2026.
Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kawasan Bukit Bintang di ibu negara bakal menyaksikan pemandangan penuh memukau pada 3 Jan ini dengan majlis pelancaran "I LITE U" yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dijangka turut dimeriahkan dengan kehadiran pemenang Oscar Tan Sri Michelle Yeoh.
-- BERNAMA
