ALOR GAJAH, 29 Dis (Bernama) -- Polis sedang menyiasat insiden membabitkan sebuah lori treler dipercayai melanggar tiga kenderaan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Jejantas Ayer Keroh, yang tular di media sosial semalam.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ahmad Abu Bakar mengesahkan kejadian tersebut dan berkata kes kini disiasat oleh Unit Siasatan Lebuh Raya (USLR) Bukit Aman.
“Kemalangan ini membabitkan sebuah lori treler dan tiga kenderaan persendirian. Siasatan lanjut sedang dijalankan oleh USLR Bukit Aman,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, tular satu video kira-kira satu minit yang memaparkan tiga kenderaan diparkir di tepi jalan rosak, selepas dilanggar lori treler berkenaan ketika memasuki R&R tersebut.
-- BERNAMA
