EKONOMI

IZWAN HASLI DILANTIK KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF PNB MERDEKA VENTURES BAHARU

29/12/2025 05:15 PM

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PNBMV), pemaju kawasan Merdeka 118 di Kuala Lumpur melantik Datuk Ir Ts Izwan Hasli Mohd Ibrahim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, berkuat kuasa 1 Jan, 2026.

Menurut kenyataan itu, Izwan Hasli yang sebelum ini merupakan CEO Putrajaya Holdings Sdn Bhd akan memimpin fasa seterusnya pembangunan Merdeka 118 dengan fokus yang jelas untuk menghidupkan destinasi utama termasuk 118 Mall, The View at 118 Observation Deck, dan Muzium Tekstil Merdeka.

“Dengan lebih 25 tahun pengalaman kepimpinan dalam syarikat-syarikat terkemuka di Malaysia seperti Petronas, KLCC Group of Companies dan Putrajaya Holdings, Izwan Hasli mempunyai rekod prestasi merangkumi pembangunan hartanah, pengurusan aset, minyak dan gas, serta teknologi,” kenyataan itu hari ini.

PNBMV, anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) berkata keutamaan Izwan Hasli termasuk meningkatkan kecemerlangan operasi, memanfaatkan nilai aset serta memastikan Merdeka 118 memenuhi janjinya sebagai kawasan pembangunan bersepadu yang rancak dan meriah.

Sementara itu, Izwan Hasli berkata tahun 2026 akan menjadi tahun penting dengan pembukaan tarikan utama yang akan menghidupkan kawasan berkenaan.

“Dengan mengutamakan inovasi, memanfaatkan kemampuan digital, dan meletakkan rakyat serta komuniti di pusat pembangunan, kami berhasrat untuk menjadikan Merdeka 118 sebagai pembangunan bersepadu yang menetapkan penanda aras baharu bagi kecemerlangan,” kata beliau.

Pengerusi Kumpulan PNB Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata lembaga pengarah yakin dengan pelantikan Izwan Hasli, PNBMV akan terus memajukan kawasan mercu tanda ini sebagai pemangkin kepada aspirasi pembangunan bandar Malaysia.

PNBMV, yang ditubuhkan pada Jun 2000 adalah pemilik tanah dan penjaga tunggal bagi Stadium Merdeka dan Stadium Negara. Kedua-dua stadium ini telah disenaraikan sebagai tapak Warisan Negara pada Oktober 2005 di bawah Akta Warisan Negara 2005.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan