GEORGE TOWN, 29 Dis (Bernama) -- Galeri Seni Lin Xiang Xiong mengadakan persembahan khas sulungnya Picasso dan Lin Xiang Xiong: Dialog Merentasi Masa, iaitu satu pameran yang meneroka tema universal keamanan melalui karya dua seniman berwawasan daripada era berbeza.
Berlangsung bermula hari ini sehingga 31 Mac 2026, pameran itu menghimpunkan lebih 60 karya Pablo Picasso termasuk litograf, fotolitografi, poster, cetakan dan karya sutera terpilih bersama lebih 300 lukisan oleh Prof Lin Xiang Xiong.
Galeri seni itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan Picasso, seorang daripada seniman paling berpengaruh pada abad ke-20 telah mengharungi dua perang dunia, iaitu Perang Saudara Sepanyol dan awal Perang Dingin.
“Seninya menjadi respons yang kuat terhadap keganasan, penderitaan manusia dan usaha global untuk keamanan, jauh melangkaui ekspresi peribadi serta karya Picasso berfungsi sebagai suara awam menentang perang, menggunakan simbol berulang seperti burung merpati, sejambak bunga dan wajah manusia untuk menyampaikan harapan dan maruah,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan amalan Lin Xiang Xiong, yang merangkumi akhir abad ke-20 hingga kini mencerminkan dunia yang masih bergelut dengan konflik etnik, peperangan serantau, krisis pelarian dan cabaran kemanusiaan.
“Karya-karyanya yang penuh emosi menghadapi realiti itu secara langsung dan menggesa penonton untuk menyedari bahawa keamanan kekal sebagai tanggungjawab yang belum selesai,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Lin berkata karya-karya terpilih Picasso itu tidak pernah ditujukan untuk pengumpul persendirian dan ia dicipta untuk diedarkan dalam masyarakat dan memasuki kehidupan manusia.
Beliau berkata ia menjelmakan semangat ‘Seni untuk Keamanan’ dan seni bukan sahaja untuk dilihat, ia adalah platform dialog sosial serta pameran itu menekankan keamanan bukanlah pencapaian sejarah tetapi tanggungjawab global yang berterusan.
“Para pengunjung pameran istimewa itu bukan sahaja melihat karya seni yang berharga, malah mereka turut terlibat dengan arkib visual yang berkembang tentang bagaimana keamanan telah dibayangkan, disampaikan dan dikongsi merentasi masa.
“Memilih Picasso bukan tentang prestij artistik tetapi menghormati teladan tanggungjawab awamnya dalam saat-saat konflik yang ekstrem, Picasso memilih untuk bertindak balas, secara konsisten dan berkuasa, komitmen itu membentuk asas pameran berkenaan,” katanya dalam kenyataan sama.
-- BERNAMA
