AM

PERKEMBANGAN PENGOPERASIAN LRT3 DIMAKLUMKAN SEKITAR JANUARI 2026

29/12/2025 05:35 PM

SHAH ALAM, 29 Dis (Bernama) -- Perkembangan terkini berhubung status pengoperasian Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) laluan Shah Alam yang dimiliki Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan dimaklumkan sekitar Januari 2026.

Ketua Operasi Laluan Shah Alam Mohd Ariffin Idris, berkata ketika ini projek LRT3 sedang melalui ujian larian tanpa gagal (Failure-Free Run, FFR) bagi setiap tren.

“Kita mempunyai 22 tren bagi laluan Shah Alam. Setiap tren perlu melalui ujian ini dan dipantau oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Setakat ini, tiga tren telah mencapai jarak yang ditetapkan, namun ia perlu dinilai semula kerana APAD akan meneliti semula kriteria ujian yang telah dilaksanakan,” katanya kepada pemberita pada majlis ramah mesra petugas media Selangor bersama Prasarana di sini hari ini.

Pada 10 Dis lalu, Prasarana mengesahkan LRT3 laluan Shah Alam tidak akan memulakan operasi tahun ini susulan keperluan menyelesaikan isu kestabilan sistem dan perisian yang masih dikesan dalam fasa pengujian dan pentauliahan (T&C).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Amir Hamdan, berkata pembukaan laluan hanya akan diumumkan selepas semua komponen teknikal, termasuk sistem isyarat, perisian tren dan integrasi keseluruhan rangkaian, disahkan berfungsi secara stabil mengikut piawaian APAD.

Dalam pada itu, Mohd Ariffin secara peribadi menyatakan Prasarana sedia menawarkan kepakaran kepada kerajaan Selangor yang berhasrat meluaskan rangkaian kereta api menerusi projek Jajaran Rel Kita Selangor.

Beliau berkata Prasarana memiliki asas dan pengalaman kukuh dalam industri rel, malah syarikat pengendali LRT di Indonesia turut menggunakan khidmat kepakaran syarikat itu.

“Prasarana mempunyai kepakaran tinggi dalam industri pengangkutan awam selama lebih 30 tahun, selain kakitangan yang memiliki kemahiran masing-masing dan tidak wajar disia-siakan.

“Bagi perancangan Selangor itu, Malaysia sebenarnya sudah mempunyai pakar tempatan. Saya yakin Prasarana sedia bekerjasama bagi menjayakan pelan pembangunan ini,” katanya ketika mengulas pertanyaan sama ada Prasarana bersedia bekerjasama dalam projek berkenaan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan