AM

TIGA PELAJAR PASCASISWAZAH TERIMA BIASISWA ENDOWMEN MAJLIS PROFESOR UTM

30/12/2025 03:00 PM

JOHOR BAHRU, 30 Dis (Bernama) --  Seramai tiga pelajar pascasiswazah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima Biasiswa Endowmen Majlis Profesor UTM sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik mereka dalam satu majlis penyerahan sijil yang berlangsung di Ruang Tamu Pejabat Naib Canselor universiti itu, hari ini.

Tiga penerima bagi sesi ini ialah Mohd Amirul Mukminin Latirin dari Fakulti Sains, Saranya Devi a/p K. Pavithran dari Fakulti Pengurusan, dan Megat Irfan Zackry Ismail dari Fakulti Komputeran.

Majlis penyerahan sijil itu disempurnakan oleh Naib Canselor UTM Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim sebagai tanda sokongan berterusan universiti terhadap pelajar berprestasi tinggi yang berpotensi menyumbang secara signifikan dalam bidang kepakaran masing-masing.

Mohd Shafry berkata inisiatif biasiswa berkenaan mencerminkan komitmen berterusan UTM dalam memastikan kesinambungan kecemerlangan akademik dan penyelidikan dapat dilaksanakan secara lestari.

“UTM sentiasa komited menyediakan sokongan menyeluruh bagi memastikan perjalanan akademik dan penyelidikan universiti dapat dilaksanakan dengan cemerlang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata universiti berperanan melahirkan bakat terbaik negara yang berupaya menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara melalui inovasi, penyelidikan berkualiti serta penyelesaian lestari.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Profesor UTM Prof Sr Gs Dr Mazlan Hashim berkata dana biasiswa berkenaan merupakan hasil sumbangan berterusan warga profesor UTM termasuk beberapa staf pentadbiran universiti.

“Dana ini dikumpulkan hasil komitmen bersama dalam kalangan Profesor UTM yang prihatin terhadap kebajikan pelajar menerusi sumbangan tetap melalui potongan gaji bulanan, sumbangan one-off serta sumbangan luar yang diusahakan oleh Profesor,” katanya.

Beliau berkata inisiatif itu mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan warga akademik dalam memastikan lebih ramai pelajar berpeluang melanjutkan pengajian serta mencapai kecemerlangan akademik.

UTM akan terus komited memperkasa budaya kecemerlangan akademik dan pembangunan bakat melalui pelbagai inisiatif strategik selaras dengan aspirasi universiti sebagai peneraju inovasi dan penyelesaian lestari demi kesejahteraan masyarakat dan negara.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan