BUTTERWORTH, 30 Dis (Bernama) -- Seorang buruh warga Myanmar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, terhadap pertuduhan memiliki senjata api di sebuah bengkel pada Disember lepas.
Aung Soe, 39, didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Revolver 0.38 dengan tiada nombor siri, tanpa mempunyai permit atau lesen yang sah.
Senjata api itu ditemukan dalam satu serbuan berkaitan dadah di sebuah bengkel kontena di Lorong Perusahaan Baru, Perai pada 12.10 pagi, 21 Dis.
Dia didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun, manakala Aung diwakili peguam Hussaini Abdul Rashid.
Hakim Roslan Hamid tidak membenarkan jaminan terhadap lelaki itu dan menetapkan 6 Feb depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
-- BERNAMA
