AM

MELAKA MOHON PERUNTUKAN BAGI RTB SUNGAI RAMBAI, KURANGKAN RISIKO BANJIR

31/12/2025 06:36 PM

JASIN, 31 Dis (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka telah memohon peruntukan bagi pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Rambai kepada Kerajaan Persekutuan sebagai penyelesaian jangka panjang dalam usaha mengurangkan risiko banjir berulang di kawasan berkenaan.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata projek itu dianggarkan RM300 juta dengan memberi tumpuan kepada pengurusan aliran Sungai Kesang yang turut memberi kesan limpahan ke kawasan Sungai Rambai terutama ketika hujan lebat.

“Di negeri ini, beberapa projek RTB telah dan sedang dilaksanakan termasuk di Jasin, Merlimau serta Sungai Duyong, dan ia dilihat sebagai keperluan dalam perancangan jangka panjang bagi kawasan Sungai Rambai.

"Kita berharap perkara ini dapat direalisasikan dalam usaha mengatasi masalah banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai yang sering berlaku terutama ketika musim monsun timur laut," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abdul Azis.

Rais juga berkata setakat ini, hanya satu PPS masih beroperasi di SK Parit Penghulu yang menempatkan 36 orang daripada lapan keluarga dan keadaan dilaporkan semakin pulih dengan air semakin surut selain penduduk mula membersihkan kediaman masing-masing.

Beliau berkata banjir itu dikenal pasti berlaku berikutan limpahan Sungai Kesang susulan hujan lebat di daerah Segamat Ahad lepas yang membawa air ke kawasan tersebut pada keesokan harinya.

"Walaupun hujan di Parit Perawas tidak lebat namun limpahan di lembangan sungai di hulu menyebabkan kawasan di sini turut terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, Rais berkata kejadian tersebut memerlukan penyelarasan lebih berkesan antara Jabatan Pengairan dan Saliran Melaka serta Johor memandangkan Sungai Kesang merentasi kedua-dua negeri khususnya melibatkan aspek penyelenggaraan dan pengurusan sungai secara bersepadu.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan