AM

PAPAN PEMUKA STATUS PELAKSANAAN MA63 DIJANGKA BOLEH DIAKSES HUJUNG BULAN INI

01/01/2026 06:33 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri (BHESS JPM) membangunkan papan pemuka status terkini pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dijangka boleh diakses pada hujung bulan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof telah bersetuju mengenai perkara itu sebagai usaha meningkatkan ketelusan dan akses perkembangan pelaksanaan MA63 kepada rakyat terutama berkaitan tuntutan 40 peratus hak Sabah.

“Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal konsisten untuk memastikan hak, kepentingan dan kemajuan Sabah serta Sarawak terus dipelihara dan diperkasakan selaras dengan semangat MA63 demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan Persekutuan Malaysia,” katanya  dalam perutusan Tahun Baharu 2026 hari ini.

Beliau berkata platform rundingan MA63 telah diperkukuh di bawah Kerajaan MADANI melalui penubuhan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri manakala Jawatankuasa Teknikalnya dipengerusikan Fadillah.

Mustapha berkata setakat ini, sebanyak 29 perkara telah dibincang melalui MTPMA63 dengan 13 daripadanya berjaya diselesaikan iaitu sembilan di bawah Kerajaan MADANI dan empat di bawah kerajaan terdahulu.

“Ini adalah pencapaian terbaik Kerajaan MADANI berbanding Perdana Menteri dan kerajaan terdahulu dalam menguruskan pelaksanaan MA63,” katanya.

Antara perkara yang diselesaikan di bawah Kerajaan MADANI ialah pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sabah dan Sarawak, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak serta Jabatan Bekalan Air Negeri Sabah sebagai jabatan teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182 selain penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas serta elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak.

Mustapha juga berkata baki 16 perkara MA63 sedang dirunding secara berterusan antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak melalui MTPMA63 serta Jawatankuasa Teknikalnya dengan pemantauan rapi BHESS JPM selaku sekretariat bersama semua pihak berkepentingan.

Beliau berkata BHESS JPM juga akan meneruskan usaha untuk mengadakan sesi libat urus dengan kementerian dan agensi berkaitan, pihak industri, akademia serta pertubuhan bukan kerajaan bagi memantapkan pelaksanaan MA63.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan