AM

OPS AMBANG TAHUN BAHARU: 1,466 SAMAN TRAFIK DIKELUARKAN DI N.SEMBILAN DAN SELANGOR

01/01/2026 04:42 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Polis mengeluarkan 1,466 saman trafik menerusi Ops Ambang Tahun Baharu 2026 di Selangor dan Negeri Sembilan dengan 15 individu ditahan dalam operasi yang bermula malam tadi hingga awal pagi hari ini.

Di SELANGOR, polis mengeluarkan 1,206 saman trafik dan menahan tujuh individu serta menyita 93 kenderaan menerusi operasi yang dilaksanakan di sekitar negeri itu.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata daerah Ampang Jaya merekodkan jumlah saman tertinggi iaitu 199 diikuti Shah Alam (161), Petaling Jaya (156), Klang Utara (124), Klang Selatan (80) dan Sungai Buloh (74).

Beliau berkata tujuh individu yang ditahan melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 termasuk memandu atau menunggang secara melulu dan membahayakan, memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah serta kesalahan nombor pendaftaran kenderaan.

Di NEGERI SEMBILAN, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) mengeluarkan 260 saman hasil pemeriksaan terhadap 560 kenderaan dalam operasi bersepadu ambang tahun baharu yang bermula 9 malam hingga 7 pagi tadi.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata kesalahan dikesan termasuk tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh, penunggang bawah umur serta pengubahsuaian ekzos.

“Polis turut menyita 10 kenderaan dan menahan lapan lelaki berusia dalam lingkungan 14 hingga 23 tahun mengikut Seksyen 42 (1) APJ 1987 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara di JOHOR, sebanyak 9,356 saman dikeluarkan menerusi Op Lancar bermula pada 23 Dis hingga ambang tahun baharu.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata polis turut menyita 130 kenderaan atas pelbagai kesalahan trafik membabitkan 126 motosikal, dua kereta dan masing masing satu van dan lori, sepanjang tempoh itu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan