QUITO, 2 Jan (Bernama-Xinhua) -- Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dalam serangan bersenjata pada Rabu malam semasa sambutan malam Tahun Baharu di bandar pelabuhan Manta, wilayah Manabi di pantai Pasifik Ecuador, lapor Xinhua memetik media tempatan pada Khamis.
Insiden tembakan itu berlaku kira-kira 11 malam waktu tempatan di luar sebuah kediaman di kejiranan Nueva Esperanza, paroki Eloy Alfaro, menurut laporan media.
Lelaki bersenjata menyerbu lokasi berkenaan dan melepaskan tembakan secara rambang ke arah orang ramai yang sedang menyertai sambutan, mengorbankan enam orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 12 yang lain.
Mangsa yang terbunuh termasuk seorang kanak-kanak, seorang wanita dan empat lelaki berusia lingkungan 26 hingga 45 tahun.
Serangan itu mencetuskan panik di lokasi kejadian dan mendorong pengerahan segera unit polis serta pasukan kecemasan.
Keadaan darurat diisytiharkan di wilayah Manabi, antara kawasan yang paling terjejas akibat peningkatan keganasan jenayah.
-- BERNAMA-XINHUA
