DUNIA

PRESIDEN ECUADOR ISYTIHAR DARURAT DI 9 WILAYAH, 3 PERBANDARAN

02/01/2026 11:50 AM

QUITO, 2 Jan (Bernama-Xinhua) -- Presiden Ecuador Daniel Noboa mengisytiharkan darurat selama 60 hari di sembilan wilayah dan tiga perbandaran susulan peningkatan keganasan jenayah yang mencetuskan kekacauan serius, menurut laporan media tempatan pada Khamis, lapor Xinhua.

Dekri yang ditandatangani presiden pada Rabu itu berkuat kuasa mulai Khamis di wilayah Guayas, Manabi, Santa Elena, Los Rios, El Oro dan Esmeraldas di kawasan pesisir pantai, di wilayah tengah-utara Pichincha dan Santo Domingo, serta di wilayah Sucumbios di kawasan Amazon.

Langkah itu turut dilaksanakan di perbandaran La Mana di wilayah tengah Cotopaxi, serta perbandaran Las Naves dan Echeandia di wilayah pergunungan, Bolivar.

Presiden berkata tempoh kuat kuasa selama 60 hari itu bertujuan mengekang keganasan berintensiti tinggi, meneutralkan ancaman yang sedang berlaku atau berpotensi berlaku, serta membongkar rangkaian jenayah.

Antara 1 Nov hingga 23 Dis tahun lalu, seramai 1,232 mangsa pembunuhan direkodkan di Ecuador di wilayah Guayas, Los Rios, Manabi, El Oro, Pichincha, Esmeraldas, Santa Elena, Santo Domingo dan Sucumbios, menurut laporan Polis Negara.

-- BERNAMA-XINHUA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan