JENAYAH & MAHKAMAH

PEROLEHAN PROJEK TENTERA DARAT: SPRM KENAL PASTI INDIVIDU LAIN DISYAKI TERLIBAT

02/01/2026 08:49 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti beberapa individu lain disyaki turut terlibat dalam kes rasuah berkaitan beberapa projek perolehan melibatkan seorang pegawai kanan Tentera Darat.

SPRM dalam kenyataan di media sosial TikTok memaklumkan tindakan lanjut akan diambil berdasarkan hasil siasatan dan bukti yang diperoleh.

Selain itu, SPRM memaklumkan individu utama yang disyaki terlibat masih menerima rawatan perubatan dan keterangannya belum diambil sepenuhnya.  

“SPRM menghormati aspek kesihatan serta hak individu itu selaras dengan prinsip undang-undang dan akan mengambil keterangan sebaik sahaja beliau disahkan sihat oleh pihak perubatan.

“Tiada tempoh masa ditetapkan bagi setiap fasa siasatan, tempoh siasatan bergantung kepada kerumitan kes, jumlah saksi serta keperluan analisis dokumen dan kewangan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, SPRM mengesahkan tindakan pengesanan dan sekatan aset sedang dijalankan, namun jumlah aset atau akaun bank tidak dapat didedahkan memandangkan proses siasatan masih berjalan dan tidak semua aset telah dibekukan sepenuhnya.

“SPRM menegaskan siasatan ini dijalankan secara telus, profesional dan berlandaskan undang-undang, tanpa sebarang campur tangan. SPRM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk rasuah dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak didapati terlibat.

Pada 29 Dis lepas, SPRM  menyita enam akaun bank dipercayai milik seorang pegawai kanan Tentera Darat dan ahli keluarganya bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan perolehan projek Tentera Darat Malaysia.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berhubung kes berkenaan.

Pada 23 Dis lepas, pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan dan tumpuan terarah kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan