SEREMBAN, 5 Jan (Bernama) -- Kebosanan akibat terpaksa berdepan kesesakan lalu lintas dalam tempoh yang lama adalah antara punca utama lorong kecemasan di lebuh raya disalah guna oleh segelintir pemandu.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf berkata antara alasan yang diberikan oleh pengguna ialah mereka sudah terbiasa menggunakan lorong berkenaan dan ingin cepat tiba ke destinasi.
Beliau berkata pengunaan lorong kecemasan bukan sahaja melanggar undang-undang malah boleh menghalang pergerakan ambulans, jentera bomba dan pasukan keselamatan sekali gus mengancam nyawa.
"Sempena musim cuti sekolah ini, kita telah melaksanakan operasi bagi mencegah penyalahgunaan lorong kecemasan bermula 20 Dis lepas hingga 11 Jan depan dan sehingga semalam, sebanyak 325 notis dikeluarkan kepada pengguna jalan raya yang didapati melakukan kesalahan di bawah Kaedah 53(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
"Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan kompaun RM300 atau didakwa di mahkamah, dan tiada sebarang kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di sini.
Hanif berkata sepanjang tahun lepas, sebanyak 2,288 kes penyalahgunaan lorong kecemasan direkodkan, dan statistik itu jelas menunjukkan bahawa tahap kesedaran serta pematuhan terhadap peraturan tersebut perlu dipertingkat.
Beliau berkata JPJ negeri akan meneruskan penguatkuasaan secara berterusan, bersasar dan berfokus khususnya di laluan utama serta kawasan berisiko tinggi.
Hanif juga berkata orang awam boleh menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang trafik melalui Aplikasi MyJPJ (e-Aduan) atau e-mel aduantrafik@jpj.gov.my bagi membantu tindakan penguatkuasaan lebih berkesan.
-- BERNAMA
