EKONOMI

SEKTOR INFRASTRUKTUR TENAGA MALAYSIA KEKAL POSITIF SEHINGGA SEPARUH PERTAMA 2026 -- HLIB

05/01/2026 03:32 PM

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) kekal berpandangan positif terhadap sektor infrastruktur tenaga Malaysia sehingga separuh pertama 2026 dipacu oleh aliran pesanan yang kukuh daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB), pusat data dan tenaga solar.

Dalam satu nota penyelidikan, bank pelaburan itu berkata, tahun kewangan 2026 dijangka amat kukuh dipacu oleh pelaksanaan projek Solar Berskala Besar (LSS) 5 dan LSS5+ yang seterusnya memperluaskan permintaan bagi kerja-kerja grid dan pencawang.

"Pelaburan dalam grid akan kekal tinggi dengan peruntukan perbelanjaan modal asas tahunan antara RM3.0 bilion hingga RM3.5 bilion untuknya," kata HLIB.

Sementara itu, bank berkenaan turut mengunjurkan pemain infrastruktur tenaga tersenarai awam yang mempunyai akses kepada modal dan skala ekonomi akan berada dalam kedudukan terbaik untuk memanfaatkan kitaran peningkatan berbilang tahun ini.

Sejak gelombang pelaburan pusat data semakin berkembang pada 2023, bank pelaburan itu berkata pasaran infrastruktur tenaga menyaksikan lonjakan pekerjaan yang tersedia.

Bagaimanapun, ia turut berkata, selepas dua tahun, banyak pemain kecil yang tidak tersenarai semakin berdepan kekangan kewangan dalam mendapatkan projek baharu.

HLIB berkata, ini terbukti dengan gelombang aktiviti pengumpulan dana baru-baru ini dalam kalangan kontraktor mekanikal dan elektrik (M&E) serta pengeluar kabel yang tersenarai apabila hasil pengumpulan dana tersebut khususnya diperuntukkan untuk sokongan modal kerja (M&E) atau peluasan kapasiti (pengeluar kabel).

"Dari sudut pelanggan, langkah TNB yang mewajibkan kontraktor M&E untuk memperoleh kabel voltan tinggi secara sendiri dan bukannya dibekalkan oleh TNB, meningkatkan lagi tahap pembiayaan yang diperlukan.

"Oleh itu, kami percaya gelombang seterusnya bagi pekerjaan infrastruktur tenaga daripada TNB dan sektor swasta berkemungkinan besar semakin tertumpu dalam kalangan syarikat tersenarai," katanya.

Selain itu, HLIB berkata faktor-faktor yang mempengaruhi dasar seperti peraturan import kabel oleh kerajaan dan keutamaan TNB terhadap kontraktor tempatan akan mewujudkan halangan kemasukan bagi pesaing asing seterusnya mengukuhkan kedudukan pasaran pemain tempatan.

Oleh itu, bank itu mengekalkan saranan "overweight" terhadap sektor infrastruktur tenaga.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan