PUTRAJAYA, 5 Jan (Bernama) -- Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dilihat meletakkan rentak baharu pentadbiran negara, dengan isyarat jelas bahawa pandangan pelbagai pihak, termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta parti politik, diberikan perhatian serius dan diterjemahkan ke dalam tindakan.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pengumuman itu diyakini akan disambut baik sektor perniagaan, sekali gus mencerminkan kesediaan kerajaan mendengar pandangan industri bagi memastikan ekosistem perniagaan negara kekal mampan dan berdaya saing.
Beliau berkata daripada segi pendidikan, kerajaan bukan sahaja meningkatkan peruntukan kepada semua jenis sekolah, malah mempercepat beberapa kelulusan bagi menambah baik struktur serta infrastruktur sekolah, sekali gus mempercepat pelaksanaan projek berkaitan.
"Bagi kontraktor G1 hingga G4 pula, beberapa proses telah dipermudah dan langkah ini akan memberi manfaat secara langsung kepada industri pembinaan kecil," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas pengumuman Perdana Menteri pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Tahun 2026 Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.
Fahmi berkata penambahbaikan berkaitan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta pelaksanaan e-Invois turut memberi kelegaan kepada sektor perniagaan khususnya PMKS dengan harapan peningkatan pendapatan syarikat dapat diterjemahkan kepada pulangan yang lebih baik kepada pekerja.
Beliau menambah, pengumuman Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan, SARA untuk Semua RM100 secara sekali bayar, serta Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 disifatkan melegakan rakyat dan memastikan maklumat sampai kepada penerima dengan cepat.
Fahmi berkata kira-kira 96 peratus penerima SARA untuk Semua RM100 telah menebus bantuan tersebut, membuktikan penggunaan MyKad sebagai mekanisme pengagihan adalah efisien, tepat sasaran, dan berkesan mengurangkan ketirisan.
“Ini merupakan pencapaian baik, khususnya bagi Kementerian Kewangan,” katanya.
Fahmi berkata pengumuman empat rang undang-undang (RUU) utama mencerminkan hala tuju reformasi institusi di bawah Kerajaan MADANI meliputi kebebasan maklumat, penubuhan Ombudsman, pemisahan bidang kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara, serta had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun atau dua penggal.
Beliau berkata keputusan besar itu dipersetujui Jemaah Menteri dan kerja-kerja penyediaan RUU berkaitan akan diterajui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menurut Fahmi, keputusan besar itu dipersetujui Jemaah Menteri, manakala penyediaan RUU berkaitan akan diterajui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Selepas ini, banyak kerja akan ditanggung Datuk Seri Azalina untuk menyiapkan RUU supaya dapat dibentangkan pada sidang Parlimen bermula 19 Jan. Kita menjangkakan menjelang Tahun Baharu Cina, beberapa daripada empat RUU ini akan dibawa untuk diluluskan di Parlimen,” katanya.
Fahmi menegaskan, langkah-langkah berkenaan membuktikan kesungguhan kerajaan MADANI bukan sahaja meringankan beban sektor perniagaan dan membantu golongan memerlukan, malah membina legasi reformasi institusi yang berkekalan untuk negara.
-- BERNAMA
