AM

TIGA LOKASI DICADANG STESEN BAHARU KOMUTER KEMPAS BARU-PASIR GUDANG - EXCO

05/01/2026 05:50 PM

JOHOR BAHRU, 5 Jan (Bernama) -- Sebanyak tiga lokasi iaitu Taman Daya, Bandar Seri Alam dan Pasir Putih di sini dicadangkan sebagai tapak pembinaan stesen baharu bagi perkhidmatan komuter laluan Kempas Baru ke Pasir Gudang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata cadangan pembinaan stesen berkenaan dijangka mempermudah pergerakan harian penumpang di kawasan terbabit.

“Setakat ini, pihak berkaitan sedang meneliti setiap aspek teknikal bagi memastikan kualiti perkhidmatan terbaik kepada penduduk Johor. Sama-sama kita nantikan perkembangan positif projek ini dalam masa terdekat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata perancangan mewujudkan perkhidmatan komuter itu, yang kini masih di peringkat penilaian, merupakan antara solusi terbaik bagi mengurangkan kesesakan luar biasa di Lebuhraya Pasir Gudang yang dihadapi pengguna setiap hari.

Menurutnya, pengangkutan alternatif yang pantas, efisien dan moden itu bukan sahaja dapat memastikan kelancaran perjalanan, malah menjimatkan masa pengguna yang terkesan akibat kesesakan lalu lintas.

Mohamad Fazli sebelum ini dipetik berkata landasan kereta api sepanjang kira-kira 40 kilometer dari Kempas Baru ke Pasir Gudang, yang sebelum ini digunakan khusus bagi perkhidmatan kargo melibatkan pergerakan kontena dari pelabuhan, dirancang untuk dibuka kepada perkhidmatan penumpang.

Beliau berkata perancangan bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu turut merangkumi pembangunan beberapa stesen berskala sederhana bagi kemudahan naik dan turun penumpang.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan