MELBOURNE, 5 Jan (Bernama-Xinhua) -- Pihak berkuasa Australia pada Isnin mengeluarkan amaran bahawa tenggara Australia sedang menghadapi gelombang haba paling ekstrem dalam tempoh enam tahun, dengan suhu maksimum diramal melebihi 40 darjah Celsius, lapor Xinhua.
Biro Meteorologi (BoM) pada Isnin mengeluarkan amaran gelombang haba teruk bagi beberapa kawasan di negeri-negeri selatan dan tenggara Australia, termasuk Australia Selatan, Victoria, New South Wales (NSW) dan Tasmania, serta seluruh Wilayah Ibu Negara Australia, susulan pergerakan jisim udara panas ke arah timur merentasi negara itu.
Menurut ramalan BoM, suhu maksimum pada Rabu dijangka mencecah 41 darjah Celsius di Melbourne dan Adelaide, masing-masing merupakan ibu negeri bagi Victoria dan Australia Selatan.
Di ibu negara Canberra, suhu maksimum diramal melebihi 35 darjah Celsius selama empat hari berturut-turut bermula Rabu, manakala BoM meramalkan suhu maksimum melebihi 30 darjah Celsius di Sydney untuk empat hari berturut-turut.
Pakar meteorologi kanan BoM Dean Narramore pada Isnin berkata suhu di beberapa kawasan di Victoria, Australia Selatan dan NSW dijangka meningkat sehingga 16 darjah Celsius melebihi purata.
“Keadaan ini dilihat sebagai gelombang haba paling ekstrem bagi tenggara Australia sejak musim panas 2019-20,” katanya kepada Guardian Australia.
BoM memberi amaran bahawa gelombang haba yang teruk boleh membahayakan ramai orang, khususnya warga emas, bayi, wanita hamil serta individu yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada.
-- BERNAMA-XINHUA
