AM

GSF HARAP MALAYSIA, NEGARA SERANTAU TERUS SOKONG PERJUANGAN PALESTIN

05/01/2026 08:10 PM

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Jawatankuasa induk Global Sumud Flotilla (GSF) menzahirkan penghargaan kepada Malaysia dan rakyatnya atas sokongan berterusan terhadap isu Palestin meskipun keganasan dan penderitaan masih berlaku di Gaza.

Ahli jawatankuasa itu Thiago Avila berkata delegasi GSF berbesar hati berada di Malaysia dan berterima kasih kepada rakyat dan kerajaan negara ini kerana sentiasa ‘berada di pihak yang benar’ dalam membela Palestin.

“Dunia kini dalam kekacauan dengan banyaknya tekanan, kebencian dan keganasan namun Malaysia terus menjadi tempat di mana orang ramai tidak mengabaikan perjuangan murni di planet ini dan tidak menerima puluhan tahun genosid, penghapusan etnik serta penindasan ke atas penduduk Palestin,” katanya pada sidang media Perbincangan Meja Bulat: “Breaking The Siege” 2.0 di Wisma MAPIM hari ini.

Turut hadir dua lagi ahli jawatankuasa induk GSF Kleoniki Alexopoulou dan Saif Abukesyek yang juga merupakan ahli panel perbincangan itu serta Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang bertindak sebagai moderator. 

Hadir sama Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.

Avila berkata situasi di Palestin tidak bertambah baik walaupun gencatan senjata dikatakan berlaku, sambil menegaskan bahawa dalam masa kurang tiga bulan kebelakangan ini, lebih 400 rakyat Palestin dibunuh manakala bantuan kemanusiaan yang memasuki Gaza sangat sedikit berbanding jumlah yang dipersetujui dan disarankan antarabangsa.

Menurutnya, GSF dan rakan-rakannya akan meneruskan usaha mereka serta berharap agar Malaysia serta negara-negara di rantau ini terus melibatkan diri selain beliau menekankan kepentingan untuk satu gerakan global yang menentang pencabulan berterusan di Palestin.

“Kita perlu menunjukkan bahawa satu dunia bersatu menentang pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin dan kita tidak akan menerima penipuan bahawa situasi telah dipulihkan,” katanya.

Sementara itu, Abukesyek menyifatkan perjuangan Palestin sebagai kompas etika dan moral untuk kemanusiaan sambil menegaskan bahawa isu itu bukan berkaitan penduduk Palestin sahaja tetapi semua pihak yang mahukan masa depan yang lebih adil.

Beliau berkata GSF telah mengumumkan misi mereka seterusnya yang akan diadakan pada pertengahan tahun ini dan persiapan sudah pun bermula untuk mereka belayar seawal mungkin, mengambil kira keadaan cuaca di (laut) Mediterranean.

Katanya peningkatan tekanan daripada rejim Zionis menunjukkan bahawa sebarang pergerakan akan datang harus lebih besar dan lebih kuat justeru memerlukan penyertaan yang lebih ramai serta masa persiapan lebih panjang, selain menambah tarikh pelayaran tidak diumumkan demi tujuan keselamatan.

Abukesyek berkata misi seterusnya menyasarkan untuk mewakili seluruh negara di dunia dan pendaftaran akan dibuka tidak lama lagi untuk mencari peserta dari pelbagai sektor termasuk gerakan sosial, organisasi, kesatuan dan badan bukan kerajaan.

Beliau berkata penyertaan tidak akan dihadkan kepada pelayaran sahaja tetapi akan turut melibatkan pergerakan di darat dan sokongan organisasi selain menjangkakan lebih 3000 peserta untuk misi seterusnya itu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan