AM

MANGSA BANJIR DI SABAH, SARAWAK SEMAKIN MENINGKAT, 1,706 ORANG DIPINDAHKAN

06/01/2026 11:13 AM

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Sarawak semakin meningkat dengan 1,706 orang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di dua negeri itu setakat 8 pagi ini.  

Di SABAH, jumlah mangsa dipindahkan meningkat mendadak kepada 1,399 orang daripada 488 keluarga berbanding 619 mangsa daripada 220 keluarga yang direkodkan petang semalam.

Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, sebanyak lapan pusat pemindahan kini beroperasi di tiga daerah yang terjejas iaitu Beaufort, Kota Belud dan Tenom. 

Beaufort mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 587 orang, diikuti Tenom (535 orang) dan Kota Belud (277 orang).

"Di Beaufort, mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Dewan Slagon (359 orang) dan PPS Dewan Residensi PR1MA Woordford Estate (228 orang).

"Bagi daerah Kota Belud, 17 mangsa berada di Dewan Kampung Lentigi, manakala jumlah mangsa di Dewan Masyarakat Tun Said dilaporkan meningkat kepada 260 orang," menurut JPBN.

Di Tenom, empat PPS dibuka iaitu Dewan Terbuka Labut 2 (154 orang), Rumah Kebudayaan Kg Ponontomon (217 orang), Rumah Kebudayaan Mandalom Lama (120 orang) dan Rumah Kebudayaan Pantongan Saga (44 orang).

Setakat ini, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan manakala status bencana di Kota Belud masih menunjukkan trend peningkatan.

Di SARAWAK, JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Bekenu, Miri meningkat kepada 307 orang daripada 113 keluarga pada 8 pagi hari ini berbanding 213 orang daripada 73 keluarga pada 4 petang semalam.

Mereka yang dipindahkan ke PPS itu membabitkan penduduk dari Kampung Kawang, Kampung Jenggalas, Kampung Rambai, Kampung Pintasan, Kampung Masjid, Kampung Kuala Lajung, Kampung Majelin dan Kampung Kelapa, Bekenu.

Sementara itu di JOHOR, jumlah mangsa banjir kekal 27 orang daripada sembilan keluarga dengan satu PPS masih beroperasi di Segamat setakat 8 pagi ini.

Pengerusi JPBN Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata PPS Balai Raya Kampung Batu Badak menempatkan mangsa dari Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu Lima sejak 28 Dis lepas.

“Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat berada pada paras waspada dengan bacaan 7.94 meter (m) dan Jeti Sungai Tekam, Segamat (3.57 m) iaitu pada paras amaran dan semua daerah dalam cuaca cerah kecuali Muar, Batu Pahat serta Kulai dilaporkan mendung,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan