MELAKA, 6 Jan (Bernama) -- Bantuan tunai kerajaan memberi banyak manfaat termasuk kepada peniaga kecil dan pekerja bergaji rendah, khususnya yang mempunyai keluarga dalam meneruskan kelangsungan di tengah tekanan kos sara hidup.
Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) menyifatkan bantuan itu sebagai kelegaan dan sedikit sebanyak mengurangkan beban dalam mengurus perbelanjaan harian, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Peniaga kecil, Norshafilah Mein, 35, berkata STR amat membantu dalam menampung keperluan modal perniagaan kecil-kecilan diusahakan di rumah, termasuk membeli bahan mentah untuk jualan kuih seperti karipap, donut dan popia sejuk beku.
“Bantuan ini sangat bermakna untuk pusing modal perniagaan dan membeli bahan mentah seperti tepung, gula, minyak dan sebagainya…memang saya manfaatkan sepenuhnya bantuan ini.
"Saya bersyukur dengan inisiatif kerajaan kerana ia sangat membantu untuk saya teruskan jualan kuih ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Norshafilah berkata bantuan itu lebih memberi makna memandangkan suaminya bekerja sendiri bagi menyara keluarga selain bersyukur dengan inisiatif kerajaan yang lain seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diterima setiap bulan.
Sementara itu, pekerja kilang, Aniza Aznan, 37, berkata STR digunakan sepenuhnya untuk keperluan asas keluarga memandangkan suaminya yang mempunyai penyakit asma dan hanya bekerja dari rumah dengan menjalankan perniagaan makanan secara dalam talian dan penghantaran ke vendor.
“STR memang sangat membantu dan bantuan itu memang sepenuhnya digunakan untuk membeli barangan keperluan rumah dan saya bersyukur dengan adanya inisiatif ini, ia memberi kelegaan kepada rakyat,” katanya.
Bagi Muhammad Hafifi Shaari, 36, yang bekerja sambilan dan menjaga kedua orang tua, bantuan STR walaupun tidak besar tetap memberi kesan positif dalam mengurus perbelanjaan harian.
“Walaupun jumlah untuk mereka yang bujang tidak sebanyak yang telah berkeluarga ia tetap membantu. Terima kasih kepada kerajaan yang prihatin dan saya berharap bantuan ini dapat diteruskan atau ditambah pada tahun akan datang,” katanya sambil memaklumkan akan membuat kemas kini maklumat penerima.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2026 memaklumkan pembayaran STR 2026 Fasa 1 akan dibuat bermula 20 Jan ini.
-- BERNAMA
