EKONOMI

A-ASIGN BUKA PEJABAT BAHARU, KUKUHKAN PERAK SEBAGAI HAB GBS - SAARANI

08/01/2026 07:58 PM

IPOH, 8 Jan (Bernama) -- Pembukaan pejabat operasi baharu A-ASign Corporation Sdn Bhd di Ipoh mencerminkan keyakinan pelabur terhadap Perak sebagai lokasi strategik untuk pertumbuhan industri perkhidmatan bernilai tinggi dan ekonomi digital.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata perkembangan itu selari dengan aspirasi kerajaan negeri menjadikan Perak sebagai negeri berdaya saing dalam ekonomi berasaskan pengetahuan menerusi pengukuhan sektor perkhidmatan perniagaan global (GBS).

"Pembangunan sektor GBS merupakan antara keutamaan kerajaan negeri dalam memperkukuh agenda transformasi ekonomi digital selaras dengan hala tuju Perak Sejahtera 2030 dan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri Perak 2030.

“Kehadiran A-ASign di Ipoh melengkapkan peranan bandar raya ini sebagai hab GBS negeri atau GBS@Ipoh, menerusi penawaran perkhidmatan sokongan proses perniagaan, perkhidmatan teknologi maklumat dan penyelesaian digital berasaskan teknologi pintar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di majlis perasmian pejabat operasi baharu syarikat itu di sini, hari ini.

Saarani dalam pada itu berkata industri GBS kini muncul sebagai antara pemacu utama ekonomi berasaskan pengetahuan dan teknologi yang berpotensi menjana peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta berpendapatan kompetitif kepada rakyat tempatan.

"Perak mempunyai kelebihan tersendiri untuk terus menarik pelaburan dalam sektor itu berikutan kos operasi yang kompetitif, tenaga kerja muda dan berkemahiran, selain sokongan institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

“Kerajaan negeri melalui Digital Perak selaku agensi pemacu ekonomi digital negeri akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara untuk memastikan pelaburan dapat dilaksanakan dengan lancar serta memberi manfaat jangka panjang kepada negeri,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri kekal komited memperkasa industri GBS melalui inisiatif GBS@Ipoh dengan kerjasama pemain industri bagi menarik pelaburan digital berkualiti dan meningkatkan daya saing negeri.

"A-ASign menawarkan perkhidmatan menyeluruh berkaitan digital bukan sahaja kepada syarikat besar, malah kepada usahawan tempatan, sekali gus melengkapkan inisiatif Sekretariat Usahawan Negeri Perak (SteP) yang sedang memperkasa penglibatan usahawan dalam ekonomi digital dan pemasaran digital.

“Dengan kehadiran A-ASign, ekosistem digital di Perak akan menjadi lebih rancak dan saya percaya ia akan memudahkan serta memperkukuh kejayaan inisiatif yang sedang dilaksanakan melalui STeP,” katanya.

Terdahulu, Saarani turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Digital Perak dan A-ASign Corporation sebagai langkah awal kerjasama strategik, termasuk usaha mempromosikan Wisma A-ASign sebagai salah satu nod GBS@Ipoh serta meneroka peluang perniagaan digital baharu.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan