JENAYAH & MAHKAMAH

ENAM LELAKI DIREMAN BANTU SIASATAN KES MERUSUH

09/01/2026 04:16 PM

MELAKA, 9 Jan (Bernama) -- Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini mengeluarkan perintah reman terhadap enam lelaki bagi membantu siasatan kes merusuh di Melaka Raya, semalam.

Perintah reman dikeluarkan Majistret N Sivashangari terhadap suspek yang berusia antara 20-an hingga 40-an.

Mengikut perintah itu, seorang daripada suspek direman empat hari manakala lima lagi selama sehari bermula hari ini.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana memiliki serta mengimport senjata tiruan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 147 kanun sama, iaitu merusuh.

Semalam, polis menahan enam lelaki kerana merusuh yang dipercayai berpunca daripada provokasi dan salah faham.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan