POLITIK

NAIM MOKTAR TUMPU USAHA PERKASA BELIA, PEMBANGUNAN PULAU TANJUNG ARU

11/01/2026 10:07 PM

KINABATANGAN, 11 Jan (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan Mohd Kurniawan Naim Moktar menjadikan usaha memperkasakan golongan muda di Pulau Tanjung Aru antara tumpuannya sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat.

Beliau berkata selain itu, pembangunan infrastruktur dan keperluan sosial setempat turut diberi perhatian demi kesejahteraan penduduk di kawasan berkenaan.

“Aspek pembangunan di kampung ini akan saya berikan perhatian… lokasi yang terdapat infrastruktur sudah usang dan memerlukan pembaharuan termasuk pembinaan bangunan baharu seperti masjid, dewan serta kemudahan sukan seperti padang futsal, bola tampar dan lain-lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas sesi perjumpaan bersama dengan penduduk Pulau Tanjung Aru, yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Kimanis Datuk Mohamad Alamin.

Mohd Kurniawan Naim, 32, berkata usaha membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda turut menjadi keutamaannya bagi memastikan mereka tidak berhijrah ke bandar untuk mencari pendapatan yang lebih stabil.

Beliau berkata potensi sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Pulau Tanjung Aru juga perlu dimanfaatkan secara lebih strategik, khususnya melalui kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi membantu golongan muda menceburi bidang keusahawanan.

Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan itu berkata sokongan merangkumi latihan kemahiran, akses pembiayaan serta bimbingan perniagaan mampu membuka peluang pekerjaan baharu, sekali gus mewujudkan sumber pendapatan yang lebih mampan kepada golongan belia.

“Di kampung ini peluang pekerjaan agak terhad, namun inisiatif utama penduduk adalah dengan berniaga hasil tangkapan laut serta mengusahakan pertanian secara kecil-kecilan.

“Inisiatif seperti TEKUN Nasional, khususnya melalui pinjaman mikro kepada pengusaha kecil penting bagi memastikan usaha yang mereka jalankan dapat berkembang dan menjana pendapatan melebihi paras gaji minimum semasa,” katanya.

Mohd Kurniawan Naim berkata sekiranya diberi mandat, isu-isu berkaitan pembangunan, peluang pekerjaan serta kebajikan anak muda akan dibawa ke Parlimen bagi memastikan keperluan rakyat di Pulau Tanjung Aru diberi perhatian sewajarnya dan ditangani secara berkesan.

Pulau Tanjung Aru merupakan sebuah kawasan perkampungan air yang terletak kira-kira tiga batu nautika (5.5 kilometer) dari bandar Sandakan, dengan sebahagian besar penduduk ialah nelayan.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, pertandingan satu lawan satu berlaku antara Mohd Ismail Ayob (BN) dengan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari ini hingga 11.59 malam, 23 Jan, dengan hari pengundian ditetapkan pada 24 Jan dan pengundian awal, 20 Jan.

Sementara itu, calon BN bagi kerusi DUN Lamag Mohd Ismail turut menjadikan agenda pemerkasaan belia dan pembangunan di kawasan berkenaan sebagai fokus utamanya.

Beliau yang dikenali sebagai Miha, 44, berkata DUN Lamag memerlukan pembelaan berterusan bagi memastikan ia tidak ketinggalan dalam segala aspek termasuk peluang pekerjaan, sukan, pendidikan, kemudahan air dan elektrik.

“Segala perancangan pembangunan prasarana dan ekonomi ini hanya mampu direalisasikan dengan lancar sekiranya pengundi memilih wakil rakyat yang sehaluan dengan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Adalah satu kerugian bagi masyarakat di DUN Lamag sekiranya memilih pembangkang... yang kita perlukan adalah wakil rakyat yang ada peruntukan dan hubungan baik dengan kerajaan untuk menyuarakan masalah rakyat,” katanya ketika ditemui di Kampung Pengkalan Bukit Garam di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd Ismail dalam kempennya menyertai golongan belia bermain bola tampar di Kampung Kasih Sayang dan Kampung Muhibbah, selain turut beramah mesra pada program Santai Beliawanis.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan