DUNIA

PAUS LEO XIV SERU DIALOG MENGENAI IRAN DAN SYRIA, GESA USAHA DAMAI DIPERTINGKAT DI UKRAINE

12/01/2026 01:45 PM

LONDON, 12 Jan (Bernama-Anadolu) -- Paus Leo XIV pada Ahad menyeru kepada dialog mengenai perkembangan di Iran dan Syria serta menggesa usaha dipergiat untuk mencapai keamanan di Ukraine, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Semasa menghadiri acara keagamaan mingguan di Basilika St. Peter, Paus Leo XIV kemudian mengulas mengenai perkembangan antarabangsa, sambil menyatakan bahawa beliau turut merenung peristiwa yang berlaku baru-baru ini di Timur Tengah, khususnya di Iran dan Syria.

Beliau menyatakan bahawa “ketegangan berterusan menyebabkan ramai terkorban,” sambil berharap agar “dialog dan keamanan dapat dipupuk dengan penuh kesabaran demi mencari titik persamaan.”

Merujuk kepada perang Rusia-Ukraine, Paus berkata serangan baru-baru ini “sangat serius, menyasarkan terutamanya infrastruktur tenaga ketika cuaca semakin sejuk, sekali gus memberi kesan buruk kepada penduduk awam.”

“...Saya memperbaharui seruan saya agar keganasan ditamatkan serta usaha mencapai keamanan dipergiatkan,” kata Paus.

Iran telah digegarkan oleh protes sejak 28 Dis lepas di Grand Bazaar Tehran berikutan kejatuhan mendadak nilai rial Iran dan keadaan ekonomi yang semakin buruk. Tunjuk perasaan kemudian merebak ke beberapa bandar.

Di Syria pula sejak Selasa, kumpulan YPG/SDF mengebom kawasan kejiranan, kemudahan awam dan kedudukan Tentera Syria di Aleppo, mengorbankan 23 orang dan mencederakan lebih 100 selain menyebabkan kira-kira 165,000 penduduk dari daerah Ashrafieh dan Sheikh Maqsoud hilang tempat tinggal, menurut angka rasmi.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan