KOTA BHARU, 12 Jan (Bernama) -- Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) sedang berusaha mengesan waris kepada satu mayat lelaki yang tidak dituntut dan kini ditempatkan di Jabatan Perubatan Forensik hospital berkenaan.
Pengarah HRPZ II Dr Izamin Idris berkata mayat lelaki berusia dalam lingkungan 61 tahun itu adalah warganegara Malaysia berketurunan Cina bernama Tey Chong Leh.
“Lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia pada 11 Jan lepas. Alamat terakhir si mati adalah di No. A-36, Jalan Wan Ahmad, 17500, Tanah Merah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan dengan itu, pihak HRPZ II memohon waris si mati atau orang ramai yang mengenali si mati dan keluarganya supaya tampil memberikan maklumat dengan hadir ke Jabatan Perubatan Forensik HRPZ II atau menghubungi talian 09-745 2436.
-- BERNAMA
