AM

LANJUTAN REMAN BEKAS PTD BERGANTUNG KEPERLUAN SIASATAN - AZAM BAKI

13/01/2026 02:10 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Permohonan lanjutan tempoh reman terhadap bekas Panglima Tentera Darat (PTD) bersama dua isterinya yang ditahan berhubung kes rasuah tender perolehan akan dibuat berdasarkan keperluan siasatan semasa.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya masih mempunyai tempoh sehari sebelum perintah reman terhadap bekas PTD itu tamat.

“Saya tidak boleh mengesahkan perkadra itu buat masa ini kerana masih berbaki sehari.

“Kita mempunyai tempoh maksimum 14 hari reman. Esok genap tujuh hari dan sekiranya siasatan memerlukan masa tambahan, kita akan memohon lanjutan reman di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dan HELP University serta Pelancaran Siri Forum Tadbir Urus dan Integriti 2026, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azam berkata perkembangan terkini berhubung siasatan kes berkenaan akan diberikan dalam sidang media yang dijadualkan pada Khamis ini.

SPRM sebelum ini telah menyita aset mewah bernilai lebih RM2.2 juta susulan penggeledahan di sebuah kediaman di Pantai Timur dipercayai milik isteri kedua kepada bekas pegawai tertinggi tentera darat.

Pada 23 Dis lepas, SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan menyiasat projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.

Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan peranan penting institusi akademik dalam membantu pembangunan negara, khususnya dalam usaha memperkukuh tadbir urus, integriti dan ketelusan sektor awam.

Azam berkata universiti bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pendidikan, malah berperanan sebagai rakan strategik dalam menyediakan sokongan penyelidikan serta pendekatan praktikal bagi menangani cabaran nasional.

“Kerjasama dengan institusi akademik membolehkan hasil kajian dan kepakaran dimanfaatkan secara langsung dalam merangka dasar, memperbaiki sistem serta memperkukuh amalan integriti,” katanya.

Beliau turut menekankan sumbangan golongan profesional daripada pelbagai industri sebagai elemen penting dalam menjayakan matlamat itu, sejajar dengan usaha berterusan untuk membina ekosistem tadbir urus yang lebih berkesan dan berintegriti.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan