AM

ASEAN PERLU PERCEPAT TRANSFORMASI TVET TANGANI KETIDAKSEIMBANGAN KEMAHIRAN DIGITAL - ACCA

13/01/2026 10:37 PM

PUTRAJAYA, 13 Jan (Bernama) -- Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) memberikan amaran bahawa negara-negara ASEAN bakal menghadapi jurang ketidakseimbangan kemahiran yang meluas jika tidak melaksanakan segera pembaharuan sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk memenuhi keperluan tenaga kerja masa hadapan.

Pengarah ACCA Asia Pasifik Pulkit Abrol berkata rantau ini kini menghadapi fasa perubahan kritikal apabila industri semakin mengguna pakai automasi, kecerdasan buatan (AI) dan standard kemampanan.

Beliau berkata ACCA telah mengenal pasti tiga cabaran utama dihadapi tenaga kerja, iaitu peniadaan kemahiran akibat automasi menggantikan tugas rutin, pemahiran semula apabila peranan pekerjaan berubah dalam tempoh 2.5 hingga tiga tahun, dan peningkatan kemahiran untuk mengukuhkan kepakaran bidang digital, Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), serta teknologi baharu.

“Apa yang kami cuba lakukan ialah menghimpunkan pihak berkepentingan di seluruh rantau supaya kita dapat mengadakan perbincangan yang berkesan mengenai kemahiran, pekerjaan dan produktiviti.

“Ia memerlukan perkongsian lebih kukuh dan peningkatan kemahiran berterusan yang praktikal, terutamanya dalam bidang seperti literasi digital, analisis data dan pelaporan ESG untuk memastikan tenaga kerja hari ini kekal kompetitif dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya.

Abrol berkata demikian ketika membentangkan “The 2026 Blueprint: Transforming TVET into a Catalyst for Economic Growth” pada ACCA Public Sector Forum: TVET 2026, di sini hari ini.

Beliau berkata Global Talent Trends 2025 ACCA menekankan permintaan berkaitan digital dan kemampanan melebihi penawaran, terutama dalam kalangan generasi Z dan generasi Y. 

Sebanyak 57 peratus generasi Z dan 53 peratus generasi Y bercita-cita menjadi usahawan dan bidang perakaunan terus menjadi faktor utama untuk membangunkan kemahiran keusahawanan dan digital.

Data tinjauan ACCA menunjukkan 50 peratus responden bimbang mereka tidak mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk masa depan, manakala peratus kebimbangan tertinggi, iaitu 55 peratus direkodkan dalam kalangan pekerja peringkat junior dan yang baru memulakan kerjaya.

Beliau berkata kemahiran yang paling berisiko menjelang 2030 termasuk analisis data, keselamatan siber, literasi digital dan pelaporan ESG.

Sehubungan dengan itu, Abrol berkata ACCA menggariskan empat reformasi keutamaan untuk memastikan rantau ini bersedia menghadapi masa hadapan, iaitu membina kapasiti dalam pelaporan kemampanan melalui latihan khusus dan keupayaan jaminan, serta meningkatkan kemahiran digital dengan mengintegrasikan AI, analisis data dan keselamatan siber dalam standard kebangsaan.

Pembaharuan lain termasuk memperluas peningkatan kemahiran berterusan melalui perkongsian awam-swasta, yang menumpukan kompetensi baharu yang kritikal, serta menggalakkan tadbir urus korporat dan ketelusan lebih kukuh, khususnya dalam kemampanan.

ACCA juga mencadangkan kerjasama ASEAN yang lebih meluas melalui penubuhan pusat kecemerlangan di politeknik terpilih, pertukaran pengetahuan antara negara, lawatan pertukaran antara institusi TVET, dan kolaborasi penyelidikan bersama mengenai permintaan pasaran tenaga kerja.

Pada acara itu, dua memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani dengan Kolej Perhubungan Ekonomi Asing Ho Chi Minh (COFER) dan Kolej Ekonomi Perindustrian Hanoi (HIEC) untuk mengukuhkan kerjasama TVET ACCA di Vietnam. 

MoU dengan COFER akan memperluas akses kepada kelayakan Foundation in Accounting untuk semua pelajar, membina program yang diperkenalkan pada 2024.

Sementara itu, ACCA memperbaharui kerjasama dengan HIEC untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan membantu pensyarah serta pelajar dalam mendapatkan kelayakan antarabangsa.

Forum sehari itu bertujuan meneliti bagaimana TVET boleh memainkan peranan penting dalam membekalkan sektor awam Malaysia dengan kemahiran yang memenuhi keperluan masa hadapan selaras dengan keutamaan digitalisasi dan kemampanan negara.

Selain itu, forum menekankan trend global yang semakin berkembang terhadap pengambilan pekerja berasaskan kemahiran, dengan majikan lebih mengutamakan kemampuan yang boleh dibuktikan, satu perubahan yang dijangka membentuk semula landskap pengambilan pekerja di rantau ASEAN.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan