KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dengan lebih rendah berikutan penjualan dalam saham wajaran tinggi indeks, diterajui kaunter perkhidmatan kewangan dan utiliti telah memberi kesan kepada pasaran.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.98 mata atau 0.05 peratus kepada 1,707.22 daripada 1,708.20 ketika ditutup pada Selasa.
Indeks penanda aras itu dibuka 2.32 mata lebih rendah kepada 1,705.884, bergerak antara 1,704.03 dan 1,711.66 pada sesi dagangan berkenaan.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 543 berbanding 426, manakala 500 kaunter tidak berubah, 1,170 kaunter tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.75 bilion unit bernilai RM1.41 bilion.
Malacca Securities Sdn Bhd dalam satu nota penyelidikan hari ini berkata susulan prestasi hambar Wall Street, penurunan harga mungkin berlaku dalam FBM KLCI.
“Bagaimanapun, kenaikan ringgit pada paras RM4.05 akan dapat memberikan sokongan kepada FBM KLCI, disokong oleh perbankan, barangan pengguna dan amanah pelaburan hartanah,” katanya.
Antara kaunter wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM11.06, CIMB merosot tiga sen kepada RM8.35, Tenaga Nasional susut empat sen kepada RM13.76, IHH Healthcare berkurangan 13 sen kepada RM8.41 dan Public Bank menambah empat sen kepada RM4.68.
Bagi saham aktif, Capital A naik lapan sen kepada 52 sen, Zetrix AI meningkat satu sen kepada 83 sen dan Tanco menokok dua sen kepada RM1.23. MMAG dan Ingenieur tidak berubah masing-masing pada 5.5 sen dan 3.5 sen.
Kaunter paling untung menyaksikan Petronas Dagangan meningkat 34 sen kepada RM50.54, Hong Leong Financial naik 32 sen kepada RM20.42, Petronas Gas menokok 22 sen kepada RM18.58, manakala UWC dan PPB menambah 16 sen masing-masing kepada RM4.51 dan RM11.16.
Bagi saham paling rugi, Nestle turun RM1.50 kepada RM118.30, manakala United Plantations merosot RM1.20 kepada RM32.80, Allianz turun 22 sen kepada RM20.18, Bintulu Port susut 13 sen kepada RM5.35 dan Gamuda menguncup 11 sen kepada RM4.80.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 9.35 mata kepada 12,599.76, Indeks FBM Top 100 meningkat 3.83 mata kepada 12,388.80, Indeks FBM Mid 70 melonjak 54.58 mata kepada 17,582.39, bagaimanapun Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 5.90 mata kepada 12,308.92 dan Indeks FBM ACE turun 0.11 mata kepada 4,982.16.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 57.90 mata kepada 20,476.22, Indeks Tenaga susut 0.88 mata kepada 785.33, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian melonjak 0.43 mata kepada 174.28 dan Indeks Perladangan susut 72.80 mata kepada 8,487.88.
-- BERNAMA
