ISTANBUL, 14 Jan (Bernama-Anadolu) -- Filipina akan berkabung pada Jumaat berikutan angka kematian akibat runtuhan tapak pelupusan sampah meningkat kepada 13 orang, manakala 23 lagi masih hilang, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik laporan media pada Rabu.
Majlis Bandaraya Cebu mengisytiharkan 16 Jan sebagai hari berkabung bagi mangsa kejadian tanah runtuh di tapak pelupusan sampah Binaliw, selain meluluskan usul mengisytiharkan keadaan darurat bencana bagi bandar raya berkenaan, menurut saluran berita ABS-CBN.
"Ini adalah pengiktirafan rasmi terhadap insiden tanah runtuh tragis yang berlaku di Barangay Binaliw, yang telah meragut nyawa dan menyebabkan kesedihan yang tidak terperi," kata Ahli Majlis Jun Alcover.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ketujuh pada Rabu dan masih diteruskan bagi mengesan 23 pekerja yang dipercayai terperangkap di bawah timbunan sisa runtuhan.
Kejadian itu berlaku pada Khamis di sebuah kemudahan pelupusan sampah kendalian swasta di Bandaraya Cebu, wilayah Visayas Tengah, ketika pekerja sedang berada di tapak berkenaan.
Pasukan penyelamat terus menggunakan jentera berat dan penggalian secara manual meskipun harapan untuk menjumpai mangsa yang terselamat semakin tipis.
-- BERNAMA-ANADOLU
