AM

MBI, PERHILITAN TANGANI GANGGUAN MONYET LIAR DI GUNUNG LANG

14/01/2026 09:00 PM

IPOH, 14 Jan (Bernama) -- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengambil langkah pengawalan gangguan monyet liar melalui kerjasama strategik bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) susulan aduan berhubung haiwan berkenaan di kawasan Taman Rekreasi Gunung Lang. 

MBI dalam kenyataan hari ini memaklumkan tindakan pemasangan perangkap telah dilaksanakan di kawasan sekitar taman rekreasi itu sebagai langkah kawalan awal bagi mengurangkan gangguan sejak ia dilaporkan pada Ogos tahun lepas.

“MBI ingin menjelaskan isu dan permasalahan monyet liar ini bukan sahaja berlaku di Taman Rekreasi Gunung Lang, malah turut melibatkan kawasan lain di seluruh Bandaraya Ipoh, termasuk kawasan taman perumahan, jalan raya serta kawasan awam yang lain.

“MBI sentiasa bekerjasama rapat dengan Jabatan Perhilitan dalam usaha menangani isu gangguan monyet liar di seluruh kawasan pentadbiran Bandaraya Ipoh,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, MBI memaklumkan melalui kerjasama berkenaan, pihaknya akan terus mencari jalan penyelesaian yang optimum dan efisien bagi mengekang isu itu daripada terus berleluasa.

“Isu gangguan haiwan liar bukan sahaja boleh mengganggu aktiviti rekreasi serta mencacatkan imej dan reputasi kawasan pelancongan, malah turut memberi impak negatif terhadap keselamatan awam kerana ia adalah satu bentuk kacau ganggu dalam komuniti.

“MBI akan terus menjalinkan kerjasama berterusan bersama jabatan dan agensi berkaitan serta penglibatan komuniti setempat yang prihatin bagi mendapatkan solusi berkesan dan terbaik demi kesejahteraan dan keselamatan warga Bandaraya Ipoh,” menurut kenyataan itu.

Pada 10 Jan lepas, media melaporkan pengunjung trauma dan ketakutan selepas dikejar serta diganggu oleh monyet di kawasan gunung itu apabila beberapa haiwan berkenaan bertindak agresif ke atas seorang ibu dan anak kecilnya ketika beriadah di taman permainan di kawasan itu. 

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan