KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah melatih sebanyak 65 pegawai barisan hadapan dalam kursus Neuro-Linguistic Programming (NLP) dan Neuro-Diversity Programming bagi meningkatkan keupayaan mengenal pasti tingkah laku mencurigakan penumpang.
Ketua Pengarah JKDM Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata pegawai jabatan berkenaan yang telah dilatih mampu menilai ekspresi wajah, bahasa tubuh dan gerak-geri penumpang ketika melalui proses pemeriksaan, sekali gus membolehkan semakan lebih terperinci dilakukan terhadap individu yang disyaki.
Beliau berkata pendekatan berasaskan latihan kepakaran, risikan dan teknologi itu membantu pihaknya mengimbangi keperluan memudah cara perdagangan yang sah, di samping memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara berkesan demi melindungi keselamatan negara dan masyarakat.
"Mereka (pegawai yang dilatih) boleh menilai riak dan ekspresi muka, gerak tubuh badan seseorang penumpang, mereka boleh buat semakan yang lebih teliti terhadap penumpang berkenaan jika berasa curiga," katanya ketika menjadi tetamu pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini.
Dalam pada itu, Aniz Rizana memaklumkan Hari Kastam Sedunia ke-44 akan disambut pada 26 Jan ini di Cyberjaya yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata antara pengisian pada sambutan yang mengangkat tema “Kastam Melindungi Masyarakat Melalui Kewaspadaan dan Komitmen” itu ialah pameran rampasan terbuka kepada orang ramai.
Anis Rizana berkata aspek kewaspadaan merujuk kepada peranan jabatan itu dalam memastikan barangan larangan dan berbahaya tidak dibawa masuk ke negara ini melalui pemeriksaan kontena serta pematuhan kepada keperluan permit agensi berkaitan.
“Kastam menahan kontena bagi memastikan barang yang dibawa masuk selamat, tidak mencemar alam sekitar dan mematuhi undang-undang, termasuk keperluan permit daripada agensi berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar,” katanya.
Beliau berkata JKDM turut memperkukuh keupayaan penguatkuasaan melalui penggunaan maklumat risikan, kerjasama serantau dan teknologi analisis data bagi memastikan tindakan diambil secara tepat dan berfokus.
-- BERNAMA
