KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Wanita UMNO yang terkenal sebagai jentera kempen rumah ke rumah akan memanfaatkan platform media sosial bagi meraih sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Exco Wanita UMNO Senator Datuk Ros Suryati Alang berkata sayap parti itu tidak mahu ketinggalan dalam arus teknologi bagi mengetengahkan isu-isu semasa.
“Wanita yang berumur 60 tahun ke atas ramai yang aktif di media sosial hari ini, jadi Wanita sebagai tulang belakang parti akan berganding bahu dengan Puteri bagi memastikan kejayaan UMNO pada PRU16,” katanya pada sidang media di sini malam ini.
Ketua Puteri UMNO Melaka Nurul Amirah Mohd Yusof pula berkata sayap parti itu akan terus memperkukuh peranan di media sosial sebagai medan utama perjuangan parti bagi mendekati generasi muda, khususnya Gen Z dan Gen Alpha.
“Dunia hari ini telah bergerak ke arah digital. Jika dahulu lapangan fizikal menjadi keutamaan, kini lapangan maya adalah ‘peta pertempuran’ utama seperti yang ditegaskan,” katanya.
Beliau berkata Puteri UMNO menyambut baik pengiktirafan kepimpinan parti terhadap usaha berterusan sayap itu yang menjadikan media sosial sebagai medan utama sejak awal lagi, termasuk penggunaan platform seperti TikTok bagi mendekati rakyat.
Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan ketika berucap pada perasmian serentak Mesyuarat Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO mahu sayap parti itu memanfaatkan platform digital sebagai usaha pendigitalan UMNO.
-- BERNAMA
