PUTRAJAYA, 15 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjangka kertas siasatan kes melibatkan bekas Panglima Tentera Darat (PTD) dapat disiapkan selewat-lewatnya Isnin depan, sekali gus membuka jalan kepada tindakan pendakwaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata beliau telah mengarahkan pegawai penyiasat untuk mempercepatkan penyediaan kertas siasatan kes berprofil tinggi itu, memandangkan ia mendapat perhatian meluas daripada orang ramai dan media.
“Saya telah memberi arahan supaya kertas siasatan siap pada hari Isnin minggu hadapan dan seterusnya dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk dibuat keputusan,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.
Azam berkata selepas kertas siasatan dikemukakan, pihak pendakwa raya akan meneliti keseluruhan bukti, termasuk transaksi kewangan, keterangan saksi serta hasil risikan berkaitan isu perolehan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau turut mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya seorang atau dua individu dijangka dicadangkan untuk pertuduhan dalam kes berkenaan.
Azam berkata kes siasatan melibatkan bekas PTD itu kini memasuki fasa akhir, selepas dua minggu siasatan intensif dijalankan.
Menyifatkan kes itu berprofil tinggi itu, Azam berkata 23 individu telah ditahan, 22 kertas siasatan berhubung kesalahan rasuah dibuka dan satu kertas siasatan dibuka di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009, masing-masing melibatkan penerimaan suapan dan salah guna kuasa oleh penjawat awam dan kertas siasatan di bawah Seksyen 4(1) AMLA.
Azam menjelaskan bahawa antara cabaran terbesar siasatan ialah membuktikan urus niaga kewangan yang hanya dimaklumkan secara cebisan oleh pengadu.
“Dalam kes rasuah, kita mesti membuktikan siapa pemberinya. Itu yang sedang kita lakukan. Disebabkan itu, SPRM terpaksa mendapatkan dokumen bank serta bantuan Bank Negara dan bank-bank berkaitan,” katanya.
Beliau berkata sejumlah 30 saksi telah dirakam percakapan setakat ini.
Kes PTD dikaitkan dengan isu perolehan dalam ATM, menyebabkan 27 kontraktor ditahan untuk membantu siasatan sebelum dilepaskan selepas percakapan direkodkan.
“Pegawai saya telah menjalankan risikan secara optimum sehingga berjaya mengesan aset-aset dan barang-barang kes dalam tempoh dua minggu sahaja,” kata Azam.
Beliau berkata nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM11.4 juta, manakala 75 akaun syarikat berjumlah RM32.5 juta telah dibekukan.
Antara sitaan dalam kes ini ialah RM4.4 juta wang tunai, RM1.4 juta mata wang asing, seunit kereta Range Rover SVR bernilai RM360,000 dan 26 jam tangan mewah bernilai RM2.3 juta.
Turut disita barang kemas bernilai RM294,039, dua cincin berlian bernilai RM20,000, jongkong emas 3.7 kilogram bernilai RM2.5 juta, medalion emas 150 gram bernilai RM102,000 dan dua dinar emas seberat 8.5 gram bernilai RM5,780.
Sitaan dilakukan di sebuah residensi di Kuala Lumpur dan sebuah rumah di Besut, Terengganu.
Operasi itu dinamakan Op Parasit bermula sejak 23 Dis 2025 terhadap bekas PTD melibatkan transaksi kemasukan wang yang mencurigakan ke beberapa akaun dengan jumlah daripada RM40,000 hingga ratusan ribu.
Azam berkata siasatan ke atas kes tersebut bermula secara proaktif hasil maklumat awal yang disalurkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), susulan laporan seorang pengadu di Balai Polis Dang Wangi.
Beliau berkata maklumat itu, membolehkan SPRM memulakan siasatan lebih awal, iaitu sehari sebelum pengadu membuat laporan polis.
Pada 7 Jan, bekas PTD bersama bersama dua isterinya ditahan SPRM, berkait projek perolehan tender tentera darat dan keesokan harinya, pegawai itu direman selama tujuh hari manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman tiga dan enam hari. Bekas PTD itu kemudian dilepaskan daripada tahanan reman pada 12 Jan.
-- BERNAMA
