JAKARTA, 15 Jan (Bernama) -- Seramai 64,021 penduduk yang dipindahkan akibat banjir dan tanah runtuh di wilayah Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat telah pulang ke rumah dan komuniti asal mereka sejak Isnin, susulan keadaan di lapangan yang terus menunjukkan pemulihan.
Jumlah mangsa yang masih berada di pusat pemindahan ketika ini adalah seramai 131,521 orang.
Menurut Ketua Data, Informasi dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Abdul Muhari, perkembangan positif itu didorong oleh pembinaan segera tempat perlindungan sementara, pembukaan semula laluan serta pemulihan lebih banyak kawasan kediaman.
“BNPB, dengan penyelarasan kerajaan tempatan, terus mempercepat pembinaan perumahan sementara dengan sasaran utama siap sebelum Ramadan.
“Sebanyak 27,560 unit rumah sementara telah dicadangkan, dengan 4,304 unit sedang dibina dan 262 unit telah siap serta sedia untuk diduduki, manakala bagi tempat perlindungan sementara jenis hangar pula, sebanyak 8,440 unit dicadangkan, dengan 648 unit sedang dalam pembinaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Abdul Muhari berkata setakat pagi Khamis, jumlah korban mencecah kepada 1,190 selepas pasukan mencari dan menyelamat bersama menemukan seorang lagi mangsa yang telah meninggal dunia di Kabupaten Pidie Jaya, Aceh. Jumlah mangsa hilang adalah seramai 141 orang.
Beliau berkata BNPB turut melaksanakan Operasi Modifikasi Cuaca (OMC) di tiga wilayah berkenaan bagi mengawal intensiti hujan dan mengurangkan risiko “bencana sekunder” di kawasan terjejas.
-- BERNAMA
