JENAYAH & MAHKAMAH

KERTAS SIASATAN SALAH GUNA DANA TKAT DAN MINDEF LIBATKAN DUA PEGAWAI TINGGI ATM AKAN SIAP JUMAAT DEPAN

15/01/2026 05:08 PM

PUTRAJAYA, 15 Jan (Bernama) -- Kertas siasatan membabitkan kes rasuah dan salah guna dana Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) dan Kementerian Pertahanan melibatkan dua pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dijangka siap selewat-lewatnya Jumaat depan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata siasatan kes berkenaan telah dijalankan oleh SPRM sejak 7 Okt, bagaimanapun ia tidak diumumkan.

Beliau berkata dalam siasatan berkenaan, pihaknya turut menahan empat pegawai kanan ATM dan sembilan orang awam bagi membantu siasatan.

Azam bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai jenis rasuah dan penyalahgunaan dana yang dilakukan dua pegawai kanan berkenaan.

“Seorang pegawai tinggi ATM telah hadir bagi memberi keterangan bagi membantu kes ini pada Ahad dan Isnin lepas, manakala seorang lagi pegawai tinggi telah hadir semalam dan kita telah menahan kedua-dua mereka tetapi tidak direman,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Azam berkata kedua-dua mereka hadir memberi keterangan pada peringkat akhir siasatan.

Beliau berkata kertas siasatan hampir siap dan akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya dengan cadangan pertuduhan terhadap dua pegawai tinggi ATM terlibat, selewat-lewatnya Jumaat depan.

Azam berkata dalam siasatan berkenaan, pihaknya turut menyita dua kereta jenis Mercedes Benz dan Toyota, sebuah Proton Iris, dua buah motosikal Yamaha XMAX 250 dan juga Honda ADV 150.

“Sitaan wang tunai pula adalah sebanyak RM1.3 juta keseluruhannya dan RM721,000 jumlah keseluruhan nilai mata wang asing, termasuk 66 jongkong emas seberat 2.49 kilogram bernilai RM1.7 juta dan lapan akaun syarikat serta empat akaun peribadi turut dibekukan melibatkan jumlah keseluruhan RM4.7 juta,” katanya.

Azam berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009, Seksyen 409 dan 165 Kanun Keseksaan dengan seramai 35 individu telah dirakam kenyataan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Semalam SPRM dalam kenyataan mengesahkan seorang lagi pegawai tinggi ATM turut ditahan, bagi membantu siasatan berhubung satu kes rasuah melibatkan pasukan beruniform itu.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan