Oleh Noraizura Ahmad
KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Keupayaan ramalan cuaca yang semakin tepat hasil penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), data satelit dan radar cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) kini memainkan peranan penting dalam menterjemahkan amaran awal kepada tindakan pantas di lapangan.
Keupayaan itu memperkukuh perancangan operasi agensi penyelamat dan meningkatkan kesiapsiagaan komuniti khususnya di kawasan berisiko banjir dan tanah runtuh sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula November lepas dan dijangka berlarutan hingga Mac depan dengan lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan diramal berlaku.
Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata integrasi data radar dan satelit membolehkan pengesanan hampir masa nyata sistem cuaca seperti ribut dan hujan lebat sebelum dianalisis menggunakan teknologi AI bagi menjana ramalan jangka pendek (nowcasting) hingga tiga jam ke hadapan.
"Kaedah ramalan ini memberikan ketepatan melebihi 90 peratus, mengatasi kaedah konvensional, manakala peningkatan ketepatan untuk tempoh ramalan lebih panjang akan dilaksanakan dalam projek peningkatan sistem cuaca yang kini dalam proses perolehan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata MetMalaysia turut melaksanakan inovasi strategik dalam pembangunan sistem ramalan cuaca pintar baharu termasuk meningkatkan ketepatan tempoh amaran dan memanjangkan tempoh ramalan operasi daripada tujuh kepada 14 hari bagi menyediakan maklumat awal terhadap kejadian cuaca buruk.
Selain itu, Mohd Hisham berkata MetMalaysia mengoperasikan model ramalan beresolusi tinggi sehingga 333 meter di bandar utama yang berisiko mengalami banjir kilat seperti di Lembah Klang, Johor Bahru dan George Town bagi menghasilkan ramalan hujan yang lebih terperinci.
Menurut beliau, pendekatan multi-model ensemble turut digunakan bagi mengenal pasti ketidakpastian ramalan dan meningkatkan ketepatan serta konsistensinya, manakala teknologi AI dimanfaatkan untuk menghasilkan ramalan kebarangkalian cuaca ekstrem bagi menyokong penilaian risiko dan pembuatan keputusan yang lebih berkesan.
“Inovasi ini disokong oleh sistem amaran awal yang komprehensif merangkumi rangkaian pencerapan melibatkan radar cuaca, satelit, stesen udara atas dan stesen permukaan, serta pemprosesan data menggunakan sistem komputer berprestasi tinggi (HPC) melalui pemodelan ramalan cuaca berangka,” katanya.
Mohd Hisham berkata setakat ini amaran hujan lebat dan banjir akan dikeluarkan oleh pegawai operasi MetMalaysia yang bertugas 24 jam sehari jika terdapat jangkaan cuaca buruk di sesuatu kawasan menerusi pelbagai medium rasmi.
Menurut beliau, orang ramai boleh mendapatkan maklumat atau nasihat lanjut melalui laman web rasmi MetMalaysia www.met.gov.my, aplikasi mudah alih myCuaca dan platform media sosial MetMalaysia serta talian 1-300-22-1638.
Maklumat ramalan dan amaran awal yang lebih tepat itu menjadi asas penting kepada perancangan operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam menghadapi risiko bencana sepanjang musim monsun.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata pelan kesiapsiagaan MTL telah diaktifkan secara menyeluruh di semua peringkat operasi dengan penilaian risiko dibuat berdasarkan data ramalan cuaca, sejarah kejadian serta analisis kawasan hotspot banjir dan tanah runtuh.
“Maklumat amaran awal cuaca merupakan elemen kritikal dalam perancangan operasi JBPM kerana data ini membolehkan penjadualan semula penugasan anggota serta pengaktifan pasukan sokongan dan penempatan aset secara strategik khususnya di kawasan bandar yang berisiko tinggi,” katanya.
Beliau berkata JBPM turut melaksanakan penempatan awal anggota dan aset bagi memastikan masa tindak balas berada pada tahap optimum termasuk pengoperasian Pasukan Gerak Cepat, pembukaan pangkalan operasi hadapan serta penubuhan pangkalan hadapan wilayah di zon utara, timur dan selatan negara.
Bagi mengukuhkan pengoperasian JBPM dalam menghadapi MTL, Nor Hisham berkata pihaknya menyediakan 983 unit aset darat dan marin meliputi 417 kenderaan angkut ringan, 119 kenderaan angkut berat, 431 bot penyelamat serta 16 bot marin carilamat (SAR) serta penggunaan 150 bot agihan komuniti.
Dalam aspek keselamatan komuniti, Nor Hisham menasihatkan penduduk di kawasan berisiko banjir dan tanah runtuh agar sentiasa peka terhadap amaran cuaca serta arahan pemindahan yang dikeluarkan pihak berkuasa selain bertindak segera bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Antara kesilapan yang sering berlaku adalah memandu atau meredah air banjir tanpa mengetahui kedalaman dan arus, enggan berpindah walaupun diarahkan serta membenarkan kanak-kanak berada di kawasan banjir, selain orang ramai juga diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat palsu yang boleh mencetuskan panik,” katanya.
-- BERNAMA
