KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap agar tidak timbul sebarang persepsi negatif terhadap mana-mana kementerian atau pasukan keselamatan susulan tindakan undang-undang yang diambil berhubung kelemahan dalam pelaksanaan projek tertentu.
Perdana Menteri berkata tindakan tegas itu hanya membabitkan segelintir pegawai yang didapati terlibat dalam kes rasuah dan tidak seharusnya dikaitkan dengan imej atau kredibiliti keseluruhan kementerian atau agensi terlibat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata meskipun prestasi pelaksanaan projek fizikal pada tahun-tahun terdahulu secara umumnya adalah baik, kerajaan me nyedari masih terdapat beberapa kementerian yang belum mencapai sepenuhnya sasaran pelaksanaan projek, khususnya bagi tempoh tahun lepas.
Beliau berkata perkara itu telah dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar semalam.
“Seperti isu rasuah, ia hanya membabitkan segelintir kecil. Saya mahu rakan-rakan di pasukan keselamatan, tentera dan polis memahami bahawa secara keseluruhannya mereka berwibawa, cekap dan telah banyak berkorban.
“Sama juga dengan kementerian. Apabila ada teguran supaya prestasi diperbaiki, ia tidak bermakna keseluruhan jentera itu gagal, sebaliknya beberapa tindakan perlu disegerakan, khususnya melibatkan projek-projek kecil yang memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Anwar menegaskan tindakan sewajarnya perlu diambil kepada pegawai-pegawai tertentu yang terlibat, tanpa menghukum atau mencemarkan imej keseluruhan kementerian atau pasukan keselamatan.
Semalam, Shamsul Azri dilaporkan berkata seramai 14 ketua setiausaha (KSU) kementerian akan dipanggil bagi memberi penjelasan berhubung kegagalan kementerian masing-masing mencapai sasaran pelaksanaan pembangunan projek fizikal tahun lepas.
Tanpa memperincikan kementerian terlibat, beliau berkata pencapaian perbelanjaan pembangunan asas (DE Asas) negara tahun lepas hanya mencapai purata nasional 87.91 peratus.
Menurut Shamsul Azri, projek berkepentingan rakyat seperti pembinaan serta kerja-kerja naik taraf infrastruktur jalan raya, sekolah, klinik dan hospital tetap dilaksanakan, namun pelaksanaannya berjalan agak perlahan.
-- BERNAMA
