JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TAHAN EMPAT WARGA IRAN DISYAKI GENG PUKAU

16/01/2026 07:17 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Polis menahan empat warga Iran termasuk seorang wanita disyaki geng pukau yang terbabit kes samun dan curi melibatkan kerugian lebih RM30,000 dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Ampang di sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata suspek berusia antara 18 hingga 35 tahun dengan dua daripada mereka merupakan adik beradik manakala dua lagi mempunyai hubungan persaudaraan.

Beliau berkata polis merampas wang tunai dan barang kemas dipercayai milik mangsa serta suspek dalam serbuan itu.

“Siasatan awal mendapati suspek biasanya berinteraksi dengan mangsa termasuk hal berkaitan isu mata wang negara luar sebelum mangsa dipercayai tiba-tiba khayal.

“Suspek kemudiannya akan melarikan wang atau barangan berharga mangsa dengan sasaran mereka ialah pelancong asing dan warga tempatan,” katanya dalam sidang media pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Polis Daerah Cheras di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini, hari ini.

Fadil berkata terdapat empat laporan polis terhadap geng itu dengan kejadian terbaharu pada 9 Jan melibatkan mangsa warga Sri Lanka.

Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan serta dijangka dituduh di mahkamah pada minggu hadapan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan