AM

ESKALATOR BATU CAVES: EXCO ADAKAN SIDANG MEDIA BERSAMA PENGURUSAN KUIL 25 JAN INI 

16/01/2026 09:19 PM

SHAH ALAM, 16 Jan (Bernama) -- Exco Sumber Manusia, Pembasmian Kemiskinan, Hal Ehwal Orang Asli dan Minoriti Selangor V. Papparaidu akan mengadakan sidang media bersama pihak pengurusan kuil Batu Caves pada 25 Jan ini, bagi menjelaskan berkenaan isu pembinaan eskalator di Gua Batu Caves. 

Beliau berkata langkah itu diambil bagi memastikan segala perkara dapat ditangani secara harmoni, matang dan teratur, khususnya menjelang sambutan Thaipusam.

“Kita bakal menyambut Thaipusam dan saya ingin menegaskan bahawa saya tidak berhasrat memanjangkan isu ini sehingga mengganggu keharmonian serta persiapan sambutan perayaan berkenaan. Pada 25 Jan nanti saya akan ke Batu Caves dan kita akan mengadakan sidang media bersama pengurusan kuil,” katanya dalam hantaran di Instagram. 

Papparaidu berkata perintah mahkamah lama, termasuk yang dikeluarkan sekitar 1930, tidak boleh digunakan untuk mengetepikan pematuhan terhadap undang-undang moden yang digubal Parlimen dan dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa, termasuk undang-undang berkaitan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS). 

Beliau berkata dalam hierarki undang-undang, perintah mahkamah lama berada pada kedudukan lebih rendah berbanding undang-undang yang digubal Parlimen.

“Justeru, sekiranya undang-undang ROS menetapkan sesuatu pertubuhan perlu didaftarkan, maka perintah lama yang hanya menyentuh soal amanah atau pemegang amanah, tidak boleh dijadikan alasan untuk mengelakkan kewajipan tersebut, kecuali jika terdapat pengecualian yang jelas dalam undang-undang itu sendiri,” katanya.

Pada 16 Jan lepas, Papparaidu berkata Kerajaan Selangor menolak permohonan Lesen Pendudukan Sementara bagi kegunaan komersial, termasuk cadangan pembinaan eskalator berkenaan, dibuat berdasarkan ketetapan Perlembagaan.

Papparaidu berkata permohonan berkenaan dikemukakan atas nama individu tanpa pendaftaran persatuan, sekali gus bercanggah dengan peraturan tanah di bawah Kanun Tanah Negara, yang hanya membenarkan kelulusan diberikan kepada persatuan berdaftar dengan ROS.

Beliau berkata kerajaan negeri masih belum menerima laporan penuh mengenai status pendaftaran Persatuan Kuil Sri Mahamariamman Devhasethanam dengan ROS, walaupun Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor sebelum ini telah mensyaratkan pendaftaran sebagai prasyarat kelulusan.

Sebelum itu, Pengerusi Kuil Batu Caves Tan Sri R. Nadarajah mendakwa pentadbiran kerajaan negeri tidak serius menyelesaikan cadangan pembinaan eskalator dan pembangunan berkaitan di kawasan Batu Caves. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan