AM

KDN GERAKKAN SEMUA AGENSI BERKAITAN BANTERAS PEMALSUAN MYKAD

17/01/2026 04:50 PM

KULIM, 17 Jan (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menggerakkan semua agensi yang berkaitan dan menggunakan semua peruntukan undang-undang sedia ada dalam usaha membanteras pemalsuan dan penyalahgunaan Mykad dalam kalangan pekerja asing di negara ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya memberikan tumpuan serius dalam hal itu, terutama ketika kerajaan sedang melaksanakan penyasaran subsidi dan mengelakkan manfaat itu bocor kepada warga asing.

Beliau berkata pihaknya mengakui berlaku penggunaan Mykad palsu dan pemilikan Mykad orang lain oleh pekerja asing susulan serbuan di sebuah kilang elektronik di Selangor oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Jabatan Tenaga Kerja (JTK) baru-baru ini.

“Jadi ditanya apakah hasil siasatan (berhubung perkara itu)? Baru tiga hari (lepas) tapi kami buat apa? Ada tak hasil intipan kami mengatakan pekerja asing ini menggunakan dokumen palsu? Jawapannya ada, pasal dia beli. Saya sendiri bertanya kepada mereka, dia kata dia beli dengan harga RM300.

“Jadi tumpuan atau hala tuju siasatan kami, kami guna semua peruntukan undang-undang yang ada, kami gabungkan semua agensi,” katanya selepas Majlis Penyerahan Inden Projek Mesra Rakyat kepada kontraktor di Kulim Hi-Tech Park di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata siasatan juga akan memfokuskan kepada sistem sokongan berkaitan pekerja asing, termasuk ejen dan majikan bagi memastikan setiap pekerja asing yang bekerja di negara ini memiliki dokumen yang sah.

Beliau berkata JPN memiliki sistem data yang tepat dan dipercayai, justeru tidak sukar untuk mengesan sebarang pemalsuan Mykad yang beredar di negara ini.

“Adakah penggunaan Mykad palsu boleh? Dia tidak akan lepas sistem kita, tidak akan lepas sama sekali, jadi lebih baik dihentikan,” katanya.

Terdahulu, Saifuddin Nasution yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPN) Kedah menyampaikan inden bagi melaksanakan Projek Mesra Rakyat bernilai RM2.3 juta di daerah Kulim dan Bandar Baharu kepada 35 kontraktor.

Projek itu membabitkan pembaikan 10 rumah di daerah Kulim dan tiga rumah di Bandar Baharu serta 17 projek penyelenggaraan infrastruktur di Kulim dan lima projek di Bandar Baharu.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan