KUCHING, 17 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sarawak sedang merangka pembangunan masa depan menyeluruh dengan menumpukan kepada pembangunan kawasan selatan khususnya Samarahan sebagai bandar moden berkonsep rendah karbon sejajar dengan keperluan kesihatan awam dan kelestarian alam sekitar.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih tepat dan berhala tuju apabila trend pembangunan dikenal pasti serta disokong oleh data statistik dan analisis ekonomi.
“Kita merancang untuk generasi masa depan... perancangan menyeluruh ini akan memberi manfaat kepada Samarahan, Kuching dan Serian.
“Kita turut merancang kawasan hijau berskala besar dengan penanaman pelbagai spesies pokok tropika yang bukan sahaja menjadi tarikan pelancong, malah berfungsi sebagai pusat penyelidikan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Boulevard Samarahan di sini hari ini.
Beliau berkata di kawasan Samarahan, seluas 1,000 ekar telah dikenal pasti untuk dijadikan kawasan hijau yang akan ditanam dengan pokok-pokok jati Sarawak seperti pokok belian.
Menurutnya, kawasan berkenaan tidak boleh digunakan untuk sebarang pembangunan komersial atau perumahan, selain sebarang cadangan pembangunan perlu dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Pembinaan Boulevard ini adalah sebagai permulaan. Dengan adanya kawasan ini, ia boleh dijadikan lokasi riadah dan aktiviti joging untuk penduduk, sama seperti di Pustaka Negeri dan Reservoir Park bagi menikmati udara lebih segar,” katanya.
-- BERNAMA
